Selasa, 15 Februari 2022 | 11:05pm
 Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz

Kerajaan usaha cipta peluang kerja, bantu usahawan berkembang

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menumpukan kepada dua teras utama iaitu mencipta peluang pekerjaan dan membantu usahawan berkembang bagi menyokong momentum pertumbuhan ekonomi pada tahun ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata dua teras itu adalah mencipta 600,000 peluang pekerjaan bagi memulihkan pendapatan Keluarga Malaysia yang terjejas melalui inisiatif JaminKerja bernilai RM4.8 bilion dan membantu komuniti usahawan berkembang melalui inisiatif SemarakNiaga bernilai RM40 bilion.

"Kerajaan juga akan memantau rapi sebarang tekanan inflasi terutama ke atas barangan makanan dan memastikan langkah sewajarnya dilaksanakan bagi mengurangkan kebimbangan rakyat terhadap kelangsungan hidup mereka," katanya ketika menjadi tetamu program Agenda Awani bertajuk 'Ketahanan Ekonomi Keluarga Malaysia' terbitan Astro Awani, malam ini.

Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan dan kerajaan sentiasa responsif dalam memastikan seluruh Keluarga Malaysia dan komuniti perniagaan disokong sebaik mungkin terutama dalam memperkukuhkan pemulihan ekonomi negara yang semakin jelas.

Beliau berkata, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2021 sebanyak 3.1 peratus berbanding penguncupan 5.6 peratus pada 2020, mencerminkan keberkesanan langkah segera kerajaan melalui pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion.

"Peningkatan itu juga melalui kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang kini terus diperkukuh dengan pemberian dos penggalak dan diperluaskan kepada kanak-kanak serta Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sistematik dengan semua negeri berjaya beralih ke Fasa 4 dan hampir semua sektor ekonomi serta aktiviti sosial dibenarkan.

"Dari segi pertumbuhan sektor, yang paling cemerlang adalah sektor pembuatan yang mencecah hampir 10 peratus, diikuti sektor perkhidmatan (+1.9 peratus), sektor perlombongan dan pengkuarian (+0.7 peratus) dan termasuk sektor lain juga menunjukkan kadar penguncupan lebih rendah, jelas menggambarkan pemulihan menyeluruh bagi negara," katanya.

Tengku Zafrul berkata, kadar pengangguran juga menurun kepada 4.2 peratus pada akhir Disember 2021 (berbanding kadar tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020).

Katanya, ini jelas menunjukkan inisiatif kerajaan berkesan dalam usaha mencipta pekerjaan, disokong jumlah perdagangan luar yang mencecah lebih RM2 trilion dan pelaburan langsung asing bersih melebihi RM50 bilion pada 2021.

"Ini menunjukkan perkembangan yang baik, walaupun unjuran kementerian (bagi kadar pengangguran) adalah empat peratus.

"Jadi, dengan semua inisiatif dan perancangan dibuat dalam Bajet 2022, kita mengunjurkan KDNK akan tumbuh antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus pada 2022.

"Bajet 2022 adalah bajet terbesar kita dengan peruntukan RM332.5 bilion. Ini mencerminkan komitmen kerajaan yang tidak akan berkompromi dalam memastikan kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia dan kelangsungan perniagaan melalui dasar fiskal yang mengembang," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan dan kerajaan akan terus memastikan sokongan berterusan supaya ekonomi kekal di landasan pemulihan yang kukuh.

"Namun, penyediaan peruntukan dan langkah saja tidak mencukupi. Kita perlu memastikan keberkesanan dan penyampaian inisiatif Bajet 2022.

"Untuk itu, satu Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 (JPB 2022) yang dipengerusikan Perdana Menteri ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan dan prestasi pelbagai inisiatif Bajet 2022, dan akan juga mencadangkan penyelesaian serta intervensi sesuai bagi memastikan pelaksanaan sempurna Bajet 2022," katanya.

Maklumat lanjut bagi inisiatif JaminKerja boleh didapati di https://budget.mof.gov.my/manfaat/faq/jaminkerja.html – BERNAMA

Berita Harian X