Selasa, 15 Februari 2022 | 2:33pm
 Laporan Kontraktor (CRC) belum diwajibkan terhadap kontraktor tetapi ada kemungkinan akan dilaksanakan di masa hadapan. - Foto hiasan
Laporan Kontraktor (CRC) belum diwajibkan terhadap kontraktor tetapi ada kemungkinan akan dilaksanakan di masa hadapan. - Foto hiasan

KKR tidak tolak kemungkinan wajibkan kad laporan projek

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak menolak kemungkinan mewajibkan Kad Laporan Kontraktor (CRC) bagi memastikan hanya syarikat berprestasi baik serta paling layak, dipertimbangkan bagi melaksanakan sesuatu projek.

Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata CRC yang disediakan melalui Portal Kontraktor Malaysia (MCP) dibangunkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), mengandungi maklumat latar belakang termasuk tindakan disiplin atau undang-undang yang pernah dikenakan terhadap kontraktor.

Beliau menyifatkan, pelaksanaan CRC sebagai satu amalan yang baik terutamanya bagi membolehkan klien membuat penilaian latar belakang serta memastikan kontraktor mempunyai pengalaman bagi melaksanakan sesuatu projek.

"Setakat ini CRC belum diwajibkan (terhadap kontraktor) tetapi ada kemungkinan (dilaksanakan di masa hadapan). Daripada segi amalan, ia adalah sesuatu yang bagus dan bagi projek kerajaan, kita sudah mengamalkan pemeriksanaan latar belakang ini.

"Klien contohnya Kementerian Kesihatan (KKM) boleh memeriksa (melalui CRC) sama ada syarikat (kontraktor) layak serta mempunyai sijil diperlukan dan adakah mereka berpengalaman membina klinik atau hospital sebelum ini.

"Bagaimanapun, disebabkan teknologi dan portal ini masih baharu, kita memberi timbang rasa dan juga masa supaya sistem yang ada dapat diperbaiki tetapi saya ingin katakan tidak mustahil (diwajibkan) satu hari nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran MCP dan CRC di Pusat Konvensyen CIDB, di sini, hari ini.

Terdahulu, Arthur membacakan teks ucapan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof pada acara itu.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KKR, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman; Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid dan Pengarah Pusat Khidmat Kontraktor, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Marina Ramly.

Arthur berkata, MCP menyediakan CRC bagi membolehkan agensi, pemilik projek dan orang ramai memeriksa latar belakang sesebuah syarikat kontraktor yang didaftar dalam MCP melalui profil mereka.

MCP adalah portal berpusat pendaftaran kontraktor yang dibangunkan CIDB bagi memudahkan urusan kontraktor dengan agensi seperti Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

Melalui sistem ini, kontraktor serta personel binaan tidak perlu hadir secara fizikal ke kaunter CIDB bagi menjalankan sebarang transaksi.

Portal itu adalah sebahagian usaha penambahbaikkan oleh CIDB dalam mendigitalisasikan proses pendaftaran dan transaksi berkaitan kontraktor serta personel binaan sejak 2017 yang dilaksanakan melalui pembangunan Centralised Information Management System (CIMS)

Arthur berkata, portal MCP yang dilancarkan hari ini, akan memanfaatkan 131, 121 kontraktor yang berdaftar di bawah CIDB.

Ia termasuk 12, 731 kontraktor yang memegang permit SPAN untuk kerja berkaitan sistem bekalan air atau pembentungan serta 68, 868 kontraktor yang memegang sijil taraf bumiputera.

Sementara itu, Ahmad 'Asri berkata, pelancaran MCP pada hari ini adalah pembangunan fasa pertama membabitkan PKK, ST dan SPAN dan portal berkenaan akan terus dipertingkatkan berdasarkan input serta maklum balas daripada pengguna sistem ini di masa hadapan.

"Saya berharap lebih banyak agensi berkaitan akan menyertai MCP bagi memastikan komuniti industri pembinaan di negara ini dapat berinteraksi dengan mudah melalui hanya satu portal," katanya.

Berita Harian X