Isnin, 14 Februari 2022 | 6:10pm
Noh (kanan) mengutip cili ditanam dalam kawasan Masjid Taman Impian Emas di Skudai, Johor Bahru, hari ini. - NSTP/MOHAMAD FAHD RAHMAT
Noh (kanan) mengutip cili ditanam dalam kawasan Masjid Taman Impian Emas di Skudai, Johor Bahru, hari ini. - NSTP/MOHAMAD FAHD RAHMAT

Koperasi digesa labur dalam sektor tani, industri asas jagung

JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melihat ada keperluan menggunakan kekuatan sumber kewangan lebih 36,000 ahli koperasi di negara ini untuk melabur dalam sektor pertanian dan industri berasaskan jagung.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata pihaknya perlu bekerjasama dengan Jabatan Pertanian di peringkat negeri yang mempunyai kepakaran bagi melaksanakan usaha berkenaan.

"Bagi kita, apa juga perancangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), kita kena kerjasama. Bagi program pertanian, Jabatan Pertanian ada beri bantuan dan bimbingan. Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mungkin boleh bekerjasama dengan jabatan itu.

"Jabatan Pertanian mungkin boleh berkongsi bantuan, beri benih dan peralatan, manakala koperasi mengeluarkan modal membersihkan tanah dibantu SKM, jadi mesti bekerjasama," katanya pada sidang media selepas melancarkan Koperasi Kariah Masjid Impian Emas Berhad di Skudai, hari ini.

Beliau berkata, MEDAC menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya koperasi sentiasa memainkan peranan dalam memajukan sektor pertanian negara dan peluang itu perlu diraih semua koperasi di negara ini, termasuk 454 koperasi masjid bagi mendapatkan manfaat ekonomi.

"Salah satu fokusnya peranan koperasi masjid kerana kita lihat ada potensi dan semangat kerjasama ahli kariah. Masjid bukan sahaja tempat beribadah tetapi boleh digunakan sebagai tempat membangunkan ekonomi.

"Lebih-lebih lagi yang ada tanah terbiar dalam kawasan masjid seperti Masjid Taman Impian Emas ini yang ambil inisiatif tanam cili, timun dan kelapa pandan," katanya.

Dalam pada itu, Noh berkata, MEDAC bercadang menubuhkan 300 lagi koperasi di seluruh negara menjelang akhir tahun ini yang diharap bukan sahaja terlibat dalam sektor pertanian, tetapi juga peruncitan, katering, pelancongan dan lain-lain.

Berita Harian X