Isnin, 14 Februari 2022 | 2:41pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Kadar pertumbuhan penduduk, purata isi rumah menurun

SHAH ALAM: Kadar pertumbuhan penduduk tahunan dan purata isi rumah (IR) persendirian di Malaysia menunjukkan penurunan dalam tempoh 10 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata berdasarkan Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020, kadar pertumbuhan penduduk tahunan adalah 1.7 peratus, berbanding 2.1 peratus pada 2010.

Bagi purata IR persendirian, jumlahnya menurun daripada 4.3 peratus pada 2010, kepada 3.8 peratus pada 2020.

"Kadar pertumbuhan penduduk menunjukkan penurunan, yang ada kaitan dengan tahap kesuburan dan bilangan anak.

"Selain itu, satu IR sekarang adalah 3.8 orang, jadi terdiri daripada emak, ayah dan tidak sampai dua orang pun (anak). Satu keluarga hanya ada 3.8 orang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam ucapannya, Mustapa berkata, banci penduduk dan perumahan dilaksanakan bagi mendapatkan stok dan profil penduduk serta perumahan yang komprehensif dan terperinci sehingga ke peringkat geografi terkecil sebagai penanda aras ciri demografi dan sosioekonomi penduduk.

Katanya, penghasilan profil banci yang terperinci dapat menyediakan statistik di peringkat daerah dan mukim yang amat berguna kepada penggubal dasar bagi pembangunan negara, termasuk dalam Rancangan Malaysia Lima Tahun, Belanjawan serta dasar monetari dan fiskal negara.

"Banci kali ini dilaksanakan dalam keadaan yang amat mencabar akibat penularan pandemik COVID-19. Sejarah tercipta apabila operasi pembancian negara berlangsung selama 482 hari iaitu mulai 7 Julai 2020 sehingga 31 Oktober 2021.

"Pembancian dalam beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara adalah satu cabaran besar kepada pasukan pembancian di seluruh negara.

"Cabaran ini diharungi dengan pelbagai pendekatan proaktif seperti mempergiat dan memaksimumkan pengguna kaedah atas talian e-Census, Computer Aided Personal Interview (CAPI) dan Computer Aided Telephone Interview (CATI)," katanya.

Berita Harian X