Isnin, 14 Februari 2022 | 11:06am

Penduduk Malaysia kini 32.4 juta

SHAH ALAM: Penduduk Malaysia berjumlah 32.4 juta dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) penduduk adalah 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, perkara itu adalah antara penemuan utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020.

Katanya, daripada penemuan itu juga jumlah penduduk mengikut kewarganegaraan menunjukkan 29.8 juta atau 91.7 peratus adalah warganegara dan 2.7 juta bukan warganegara.

"Dari segi tempat kediaman pula, sebanyak 9.6 juta sudah dibanci dan 8.2 juta Isi Rumah (IR) dengan purata saiz persendirian adalah sebanyak 3.8 peratus," katanya pada Majlis pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Banci Malaysia 2020 adalah banci yang keenam dan ia dilaksanakan melalui pewartaan Arahan Banci dan Pelantikan Pesuruhjaya Banci pada 11 Februari 2020.

Perdana Menteri berkata, daripada jumlah penduduk itu, seramai 52.3 peratus penduduk di Malaysia adalah lelaki manakala 47.7 peratus wanita, dengan nisbah jantina adalah 110 lelaki berbanding 100 wanita.

Katanya, Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 juga menunjukkan negeri yang mempunyai bilangan wanita melebihi lelaki adalah Putrajaya, yang mana 100 wanita bersamaan dengan 96 lelaki.

"Bagi statistik mengikut etnik, penduduk Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 69.4 peratus, diikuti etnik Cina (23.2 peratus), India ( 6.7 peratus) dan lain-lain ( 0.7 peratus)," katanya.

Sementara itu, kumpulan penduduk warga emas yang berumur 60 tahun ke atas direkodkan sebanyak 3.4 juta atau 10.4 peratus daripada keseluruhan penduduk.

"Jumlah itu meningkat berbanding pada tahun 2010yang mencatatkan 2.2 juta penduduk atau 8.0 peratus.

"Umur muda pula menunjukkan penurunan daripada 27.6 peratus pada 2010 kepada 24.0 peratus pada 2020," katanya.

Ismail Sabri menegaskan, penemuan Banci 2020 akan dijadikan tanda aras baharu untuk kerajaan menggariskan dasar yang berkaitan dalam pembangunan kesejahteraan rakyat.

"Di samping itu ini dapat memberikan input yang menyeluruh dalam pelaksanaan dasar sedia ada seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Malaysia Ke-12 dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs)," katanya.

Beliau menjelaskan, statistik Banci Penduduk dan Perumahan dapat memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa Malaysia termasuklah saiz, taburan, komposisi dan ciri sosioekonomi penduduk serta perumahan.

"Bertitik tolak daripada maklumat yang diperoleh inilah kerajaan akan dapat menentukan bagaimana pembiayaan kerajaan

bernilai berbilion ringgit Malaysia dapat dibelanjakan di seluruh negara.

"Di sinilah bagaimana kerajaan dapat menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat yang layak dan memerlukan seperti menangani jurang pendapatan dan kekayaan rakyat yang semakin melebar, membasmi kemiskinan dan mengurus kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), termasuk golongan mudah terjejas (rentan ekonomi) dan terpinggir.

"Di sini, Jabatan Perangkaan juga bertanggungjawab dalam mengeluarkan pengiraan kumpulan isi rumah berpendapatan mengikut kategori B40, M40 dan T20.

Kumpulan sasar seperti warga emas dan golongan kurang upaya turut tidak akan terkecuali menikmati limpahan kesejahteraan ini," katanya.

Perdana Menteri berkata, penghasilan profil yang terperinci akan digunakan membuat perancangan dan keputusan berkenaan perkhidmatan awam yang diperlukan bagi setiap lokaliti seperti hospital, sekolah, jalan raya dan pengangkutan awam.

Katanya, data banci juga akan digunakan untuk pengiraan pendapatan perkapita, penggubalan dasar warga emas dan perancangan sosial.

 Penduduk Malaysia berjumlah 32.4 juta dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) penduduk adalah 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun. - Foto Bernama
Penduduk Malaysia berjumlah 32.4 juta dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) penduduk adalah 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun. - Foto Bernama
Berita Harian X