Ahad, 13 Februari 2022 | 9:17pm

Kerajaan sedia benarkan penjawat awam berpolitik

KUALA TERENGGANU: Kerajaan bersedia untuk membenarkan penjawat awam terbabit dalam aktiviti politik melalui pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata pekeliling mengenainya sedang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memperincikan tatacara kebenaran itu meliputi kumpulan penjawat awam, gred dan prosedur yang perlu diikuti bagi mengelak percanggahan kepentingan.

Beliau berkata, buat sementara ini, guru dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dibenarkan untuk berpolitik mengikut garis panduan yang sedia ada dan JPA dalam peringkat akhir mengeluarkan pekeliling meliputi keseluruhan penjawat awam.

"Perincian mengenai kebenaran berpolitik ini sedang dibuat oleh JPA meliputi keseluruhan aspek," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sign-Off Pembangunan Pelan Strategik Pendigitalan Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSUK) Terengganu dan Agensi Di Bawahnya 2021-2025 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Terdahulu, guru sekolah di seluruh negara dan petugas KEMAS dibenarkan untuk berpolitik berkuat kuasa serta-merta.

Ismail Sabri berkata, perkara itu diputuskan Kabinet bagi menghormati prinsip demokrasi, memandangkan sebelum ini golongan berkenaan dilarang untuk berpolitik.

 Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali ketika bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani Pelan Strategik Pendigitalan Pejabat Setiausaha Kerajaan, Pejabat Tanah dan Galian dan Pihak Bekruasa Tempatan (PBT) 2021-2025 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. NSTP/GHAZALI KORI
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali ketika bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani Pelan Strategik Pendigitalan Pejabat Setiausaha Kerajaan, Pejabat Tanah dan Galian dan Pihak Bekruasa Tempatan (PBT) 2021-2025 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. NSTP/GHAZALI KORI
Berita Harian X