Ahad, 13 Februari 2022 | 7:57pm
Kadar penggunaan katil khusus untuk pesakit COVID-19 di Selangor, Perlis dan Kelantan sudah melebihi 80 peratus. - Foto hiasan
Kadar penggunaan katil khusus untuk pesakit COVID-19 di Selangor, Perlis dan Kelantan sudah melebihi 80 peratus. - Foto hiasan

Kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital meningkat

PUTRAJAYA: Kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-6/2022 bagi kategori tiga hingga lima menunjukkan peningkatan berganda di semua peringkat umur kecuali golongan remaja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata berikutan itu pihaknya menyarankan supaya golongan kanak-kanak, remaja, dewasa mahupun warga emas yang layak untuk segera mendapatkan vaksinasi serta doa penggalak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdekatan.

"Jumlah kemasukan pesakit harian COVID-19 di hospital harian hingga semalam adalah sebanyak 4,700 pesakit. Daripada jumlah itu, lapan peratus atau 376 kes berada dalam kategori tiga hingga lima," katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata, pesakit COVID-19 dalam kategori satu dan dua juga ada dirawat di hospital, antara sebabnya kerana mempunyai penyakit kencing manis atau darah tinggi yang tidak terkawal.

"Ada juga pesakit yang baru dikenal pasti menghidap penyakit tidak berjangkit ketika sedang mendapatkan pemeriksaan di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC).

https://covidnow.moh.gov.my/bm/hospitalisations
https://covidnow.moh.gov.my/bm/hospitalisations

"Selain itu, mereka (pesakit COVID-19 kategori satu dan dua) ialah penjaga kepada pesakit Pediatrik dan Geriatrik; kes Obstetrik yang memerlukan pemantauan rapi dan pesakit Immunocompromised (HIV, pesakit yang sedang menerima rawatan kemoterapi).

"Turut dilaporkan ialah kes membabitkan kanak-kanak seperti dehidrasi atau kekurangan air di dalam badan, demam berpanjangan dan kelesuan, mempunyai penyakit kronik serta tiada penjaga," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan hingga semalam kadar penggunaan katil khusus untuk pesakit COVID-19 di tiga negeri kini sudah melebihi 80 peratus.

"Tiga negeri berkenaan ialah Selangor, Perlis dan Kelantan manakala penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) di Johor pula sudah melebihi 54 peratus.

"Bagaimanapun, penggunaan katil ICU di negeri lain masih di bawah 50 peratus," katanya.

https://covidnow.moh.gov.my/bm/cases/
https://covidnow.moh.gov.my/bm/cases/

Berita Harian X