Ahad, 13 Februari 2022 | 4:59pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto fail BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto fail BERNAMA

Ismail Sabri adakan lawatan rasmi 2 hari ke Brunei

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Brunei selama dua hari bermula esok dan dijadual mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Kedua-dua pemimpin itu akan mengambil peluang menilai kemajuan kerjasama sedang berjalan, selain mengukuhkan hubungan serta kerjasama pasca COVID-19 yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Perbincangan turut membabitkan cadangan mewujudkan aturan laluan Perjalanan Vaksin (VTL) melalui udara di antara Malaysia dan Brunei, kerjasama dalam bidang diplomasi kesihatan serta cadangan ke arah pengukuhan kerjasama ekonomi.

Perdana Menteri kemudian dijangka menghadiri Majlis Santapan Rasmi yang dihoskan oleh Sultan Brunei, selain mengadakan sesi pertemuan bersama diaspora Malaysia di Bandar Seri Begawan.

Pada lawatan itu, Ismail Sabri akan diiringi isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin; Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim serta pegawai kanan kerajaan.

Lawatan terbabit dirancang dan dikendalikan berdasarkan tatacara prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan Brunei.

Berita Harian X