Ahad, 13 Februari 2022 | 4:10pm
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil.

'Kelonggaran SOP biar dapat tambah baik demokrasi'

KUALA LUMPUR: Kesediaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diharap membabitkan aspek penting dan berupaya memberi impak kepada penambahbaikan perjalanan proses demokrasi.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil, berkata kelonggaran SOP itu tidak akan bermakna sekiranya ia membabitkan aktiviti kempen secara kecil-kecilan seperti kebenaran pengedaran risalah secara bersemuka kepada pengundi.

Berikutan itu katanya, beliau optimis dengan janji kelonggaran SOP itu namun pada masa sama 'berwaspada' selagi perinciannya belum diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita perlu teliti apa yang dimaksudkan dengan kelonggaran itu, kalau dibenar mengadakan ceramah umum di tempat terbuka dengan penjarakan fizikal, bagi saya ini langkah yang baik untuk demokrasi dan kesihatan awam.

"Tetapi jika kelonggaran itu hanya bermaksud aktiviti kecil seperti calon boleh menyerahkan risalah di tangan pengundi, bagi saya itu kurang bermakna," katanya kepada BH.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi bayangan SOP PRN Johor tidak akan ditetapkan seketat PRN Melaka dan Sarawak sebelum ini. Perincian SOP itu akan diumumkan SPR sebelum penamaan calon PRN Johor pada 26 Februari ini.

SPR menetapkan 26 Februari sebagai hari penamaan calon PRN Johor dan pengundian pada 12 Mac. - Foto fail NSTP
SPR menetapkan 26 Februari sebagai hari penamaan calon PRN Johor dan pengundian pada 12 Mac. - Foto fail NSTP

"SOP (PRN Johor) masih agak ketat, tetapi bukan macam sebelum ini. Ada perkara yang KKM tidak benarkan, tetapi ada perkara yang kita benarkan, namun ia berbeza daripada PRN Melaka dan Sarawak.

"Kita benarkan PRN sewaktu gelombang Omicron, tetapi KKM juga telah buat kajian dari segi kesan Omicron terhadap kesihatan awam dan dari segi liputan vaksinasi kita. Kita masih lagi yakin bahawa PRN boleh dilaksanakan, namun terpulang kepada pematuhan (terhadap SOP) daripada orang ramai termasuk pemimpin politik," kata Khairy.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata apa yang ingin dilihat PH ialah sama ada proses demokrasi sewaktu prapandemik COVID-19 boleh diamalkan semula.

Ini kerana semua sektor telah dibenarkan beroperasi malah kerajaan juga memberi jaminan tidak akan melaksanakan lagi sekatan pergerakan.

"Walaupun sekarang jumlah kes semasa mencecah lebih 20,000 sehari, ini mungkin sebahagian daripada proses normalisasi adanya COVID-19 dalam masyarakat dan juga ke arah fasa endemik.

"Harapan saya, pemakluman berkenaan SOP ini boleh dibuat segera supaya proses persiapan untuk pilihan raya boleh kita lakukan sekarang," katanya.

Berita Harian X