Ahad, 13 Februari 2022 | 12:36pm
UTHM bersedia menerima kemasukan pelajar bagi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus mulai Mac ini.- Foto hiasan
UTHM bersedia menerima kemasukan pelajar bagi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus mulai Mac ini.- Foto hiasan

UTHM sasar 13,000 pelajar kembali ke kampus Mac ini

BATU PAHAT: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersedia menerima kemasukan kira-kira 13,000 pelajar secara fizikal ke kampus bermula Mac ini.

Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat UTHM berkata, perkara berkenaan adalah merujuk kepada kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Khamis lalu yang membenarkan pendaftaran secara fizikal pelajar tempatan dan antarabangsa institut pengajian tinggi (IPT) bermula Mac ini.

"Atas kebenaran berkenaan, UTHM sedia menerima kepulangan pelajar semula ke kampus dan telah menetapkan beberapa perancangan berdasarkan lapan kategori pelajar berkeperluan untuk kembali ke kampus.

"Kategori berkenaan membabitkan pelajar pada semua peringkat pengajian yang memerlukan kerja amali serta pelajar yang tiada akses internet," katanya dalam kenyataan.

Katanya, selain itu pelajar berkeperluan khas orang kurang upaya (OKU) dan pelajar yang akan menduduki peperiksaan seperti MUET juga dibenarkan pulang ke kampus.

"Turut dibenarkan kembali ke kampus, pelajar antarabangsa dan profesional, pelajar yang telah berada di lokaliti berhampiran kampus induk Parit Raja dan kampus Cawangan Pagoh, termasuk pelajar baharu yang akan mendaftar Mac 2022 ini.

"UTHM menyasarkan kemasukan seramai 13,000 pelajar secara fizikal dengan 68 peratus daripada keseluruhan enrolmen pelajar yang akan kembali ke kampus pada Mac 2022, bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka atau hibrid untuk fasa pertama berkenaan.

"UTHM akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT yang telah ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin dan mencegah penularan COVID-19 di kampus.

"Keutamaan hanya diberikan kepada pelajar yang telah melengkapkan dos vaksin dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin," katanya.

Berita Harian X