Ahad, 13 Februari 2022 | 11:34am

Syor teliti SSM seiring sasaran negara berpendapatan tinggi

KOTA BHARU: CUEPACS menggesa kerajaan meneliti semula tuntutan di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang disifatkan tidak lagi relevan.

Presiden, Datuk Adnan Mat, berkata pendapatan penjawat awam masih lagi di bawah garis kemiskinan dan jauh untuk dicapai menjelang sasaran menjadikan negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

"Apa yang dilancarkan Perdana Menteri pada 27 November lalu adalah untuk memastikan negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 dengan pendapatan isi rumah RM10,000 namun sistem saraan pada masa kini jauh terkebelakang.

"Kami mencadangkan sistem saraan baharu dapat diwujudkan dengan meletakkan sasaran gaji minimum RM1,800 kerana jika dicampur dengan semua imbuhan akan menjadikan angkanya RM2,450 iaitu sudah melepasi garis kemiskinan RM2,208.

"Jika sistem saraan ini tidak diwujudkan, sudah tentu unjuran amat sukar dijalankan kerana kenaikan gaji tahunan yang paling minimum adalah RM80 dan lagi tiga tahun hanya bertambah RM240, sudah pasti jauh terkebawah iaitu masih lagi di bawah garis kemiskinan," katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Terdahulu beliau hadir dalam majlis makan malam bersama kepemimpinan CUEPACS Kelantan di sini.

Pada masa sama, Adnan berkata, pihaknya juga masih berharap kerajaan menunaikan sebahagian tuntutan CUEPACS terutama kenaikan gaji berkuat kuasa 1 Julai 2018.

Selain itu, tuntutan lain ialah gaji tambahan kepada guru gred DG56 serta COLA (kadar B bantuan sara hidup) tambahan sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana juga diperluas kepada penjawat awam Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, pihaknya tidak menaruh harapan terhadap tuntutan baharu iaitu sepanjang pandemik COVID-19.

"Kami masih berharap jika kerajaan tidak mampu menunaikan semua tuntutan, hendaklah melihat semula perkara yang diumumkan sebelum ini.

"Kerajaan juga berdepan kekangan tapi sekurang-kurangnya perlu dan pastikan jika tidak boleh kesemuanya, jangan tinggalkan kesemuanya, laksanakan beberapa perkara sebagai tanda terima kasih dan tanda (tunaikan) janji pengumuman sebelum ini," katanya.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat (tengah) menyampaikan cendera mata kepada ahli jawatankuasa CUEPACS Kelantan yang bersara - Foto NSTP/Siti Rohana Idris
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat (tengah) menyampaikan cendera mata kepada ahli jawatankuasa CUEPACS Kelantan yang bersara - Foto NSTP/Siti Rohana Idris
Berita Harian X