Sabtu, 12 Februari 2022 | 5:23pm
UPM bersedia membenarkan 10,000 pelajar kembali ke kampus dengan pematuhan SOP bermula 16 Mac ini. - Foto BERNAMA
UPM bersedia membenarkan 10,000 pelajar kembali ke kampus dengan pematuhan SOP bermula 16 Mac ini. - Foto BERNAMA

UPM sedia terima 10,000 pelajar Mac ini

KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) bersedia membenarkan 10,000 pelajar kembali ke kampus dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bermula 16 Mac ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof Dr Arifin Abdu, berkata pelaksanaan secara berperingkat kemasukan semester kedua sesi akademik 2021/2022 dan mendaftar di kolej kediaman UPM itu kini di peringkat persiapan.

"Bagi mencegah risiko penularan COVID-19 dalam kampus, pihak pengurusan kolej kediaman mengambil keputusan segala proses dan prosedur berkaitan kemasukan serta pendaftaran pelajar perlu mengikut mengikut SOP yang ditetapkan.

"Kehadiran pelajar ke kampus dipantau dengan teliti pihak berkuasa UPM dan sekiranya demam atau bergejala, mereka akan dirujuk ke Pusat Kesihatan Universiti (PKU), sebelum dibenarkan memasuki premis kolej kediaman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rabu lalu, kerajaan membenarkan kemasukan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ke kampus secara berperingkat mulai 1 Mac ini dengan kapasiti 70 hingga 100 peratus.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengumumkan keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 ke-12 memperhalusi cadangan daripada KPT berhubung kemasukan pelajar ke IPT membabitkan universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan IPT swasta.

Katanya, antara SOP ditetapkan KPT dan Kementerian Kesihatan (KKM) adalah pelajar dan staf yang lengkap dan tidak lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke kampus, namun mereka yang tidak lengkap vaksinasi perlu membuat ujian RT-PCR dan berkeputusan negatif tiga hari sebelum masuk ke kampus.

Arifin berkata, pendaftaran menginap di kolej kediaman bagi pelajar semester kedua sesi 2021/2022 akan bermula pada 16 hingga 18 Mac dengan inisiatif universiti mengutamakan langkah keselamatan seperti mengisi borang pengisytiharan kesihatan, pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, penggunaan pensanitasi tangan dan penjagaan kesihatan diri rapi.

"UPM membenarkan pelajar antarabangsa yang lengkap vaksinasi dan mendapat dos penggalak untuk kembali ke kampus seterusnya wajib melaksanakan kuarantin

tujuh atau lima hari setibanya dari negara asal di pusat kuarantin yang diiktiraf oleh KKM," katanya.

Berita Harian X