Sabtu, 12 Februari 2022 | 4:26pm

Keseluruhan kes COVID-19 di Malaysia cecah 3 juta hari ini

PUTRAJAYA: Jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini sudah mencecah tiga juta selepas pertambahan sebanyak 22,802 kes baharu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah kumulatif kes COVID-19 kini adalah 3,019,163 kes.

Beliau berkata, daripada jumlah dilaporkan hari ini, sebanyak 99.54 peratus atau 22,698 kes adalah dalam kategori satu dan dua.

"Mengikut pecahan, sebanyak 5,029 kes (22.05 peratus) adalah dalam kategori satu dengan 17,668 kes (77.49 peratus) dalam kategori dua.

"Selain itu, 82 kes dalam kategori tiga, kategori empat (14 kes) dan kategori lima (lapan kes)," katanya dalam Twitter, hari ini.

https://covidnow.moh.gov.my/bm/cases/
https://covidnow.moh.gov.my/bm/cases/

Mengulas mengenai kes hari ini, Dr Noor Hisham memaklumkan, kes yang dikesan itu membabitkan 22,708 penularan tempatan dan 94 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Secara keseluruhannya, daripada jumlah kes aktif di negara ini, terdapat 176 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan 82 kes disahkan COVID-19 serta 94 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Bagi kes dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat 98 kes membabitkan 40 kes sah dijangkiti COVID-19 serta 58 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan, pihaknya berjaya mengesan 11 kluster baharu, menjadikan terdapat 415 kluster yang masih aktif, setakat ini.

Mengenai kes sembuh, beliau berkata, setakat jam 12 tengah hari ini, sebanyak 5,442 kes dilaporkan pulih, menjadikan jumlah kes pulih akumulatif sebanyak 2,846,713 kes.

Berita Harian X