Sabtu, 12 Februari 2022 | 3:22pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

'Perkasakan semula Pelan Integriti Nasional'

KUALA LUMPUR : Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) perlu memperkasakan semula Pelan Integriti Nasional melalui Institut Integriti Malaysia (IIM) bagi mengukuhkan integriti dalam pentadbiran awam.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), berkata untuk tujuan itu, peranan IIM sebagai arkitek integriti negara perlu dipulihkan dan bukan berfungsi hanya sebagai perunding latihan dan pensijilan.

Katanya, ketua setiausaha di setiap kementerian dan ketua pengarah agensi juga perlu memberikan lebih komitmen dalam menjayakan agenda integriti nasional tanpa bergantung harap sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau GIACC.

"

Hanya melalui kaedah pelaksanaan sebegini barulah pengukuhan integriti dalam pentadbiran awam dapat direalisasikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam Majlis Amanat KSN 2022 mengingatkan penjawat awam bahawa kegagalan mempertahankan nilai integriti akan menyebabkan perkhidmatan awam dipandang hina dan jelek.

Berikutan itu, beliau meminta semua ketua jabatan dan penjawat awam melipatgandakan usaha memperkukuhkan integriti serta tadbir urus menerusi pelaksanaan inisiatif di bawah pelan antirasuah organisasi (OACP) yang dibangunkan agensi masing-masing.

Sementara itu, MCW berkata, kunci kejayaan negara maju melawan rasuah sehingga menjadi makmur ialah ketinggian integriti penjawat awamnya.

Katanya, mereka mempunyai sifat itu kerana mencontohi amalan pemimpin negara dan ahli politik yang mahukan integriti dan melaksanakannya dalam segala aspek kehidupan.

Susulan itu, beliau berkata, MCW menyambut baik komitmen dan kesedaran penjawat awam sebagaimana dinyatakan dalam Amanat KSN itu.

"Rakyat mahu penjawat awam membuat perubahan dan membuktikan mereka masih boleh diharapkan.

"Tindakan segelintir penjawat awam melakukan rasuah adalah barah yang perlu segera dibanteras. Semoga ucapan KSN yang mewakili penjawat awam akan menjadi realiti demi masa depan negara ini," katanya.

Berita Harian X