Sabtu, 12 Februari 2022 | 2:54pm
Ahmad Zahid (depan dua, kanan) bersama Joseph Kurup (depan dua, kiri); Bung Moktar (depan kiri) dan Arthur Kurup (depan kanan) menghadiri Persidangan Perwakilan Tri-Annual PBRS Ketiga hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Zahid (depan dua, kanan) bersama Joseph Kurup (depan dua, kiri); Bung Moktar (depan kiri) dan Arthur Kurup (depan kanan) menghadiri Persidangan Perwakilan Tri-Annual PBRS Ketiga hari ini. - Foto Bernama

Kepimpinan BN Johor akan umum calon PRN Johor

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan BN Johor mengumumkan calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum hari penamaan calon, 26 Februari ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata semua calon terbabit akan dimuktamadkan selepas perundingan dengan parti komponen BN yang lain.

"Saya serahkan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri dan juga Ketua Penyelaras PRN Johor untuk mengumumkannya.

"Calon akan dimuktamadkan selepas perundingan dengan semua parti komponen. Calon terbabit juga bukan saja akan diteliti latar belakang politiknya, tetapi juga latar belakang pelbagai," katanya pada sidang media selepas Persidangan Perwakilan Tri Annual Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) ketiga di Dewan Hakka, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup; Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Kurup; Pengerusi Badan Perhubungan BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, kerjasama BN dengan parti gabungan lain di bawah naungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika ini, tidak lebih hanya sokongan dan menegaskan keutamaan diberikan terlebih dulu kepada parti teras serta parti komponen di bawah UMNO.

"UMNO menyokong kerajaan GRS yang ada sekarang dan menyokong jika GRS didaftarkan tetapi hanya sekadar sebagai sokongan.

"Kekangan kita adalah UMNO itu parti teras dalam BN. Tentunya keutamaan sebagai parti komponen dalam BN itu akan terus dikekalkan, begitu juga dengan PBRS kerana mereka adalah parti komponen BN.

"Itu satu perkara yang termaktub dalam perlembagaan BN sendiri dan Akta Pertubuhan 1966 menyebut parti gabungan itu boleh disertai sesebuah parti tetapi sesebuah parti itu tidak boleh menyertai lebih daripada sebuah parti gabungan," katanya.

Berita Harian X