Sabtu, 12 Februari 2022 | 10:11am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

24 korban baharu COVID-19

KUALA LUMPUR: Sebanyak 24 kematian baharu akibat COVID-19 membabitkan sembilan negeri, direkodkan semalam.

Menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan (KKM), daripada jumlah itu, Kedah mencatat lima kes, manakala Johor dan Sabah pula masing-masing empat korban.

Ia diikuti Pahang dan Perak dengan masing-masing tiga kes, Negeri Sembilan (dua) serta Perlis, Selangor dan Terengganu (masing-masing satu).

Sementara itu, seramai 97,975 atau 2.7 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids), setakat semalam.

PICKids dilancarkan 3 Februari lalu dengan kerajaan menetapkan sela masa selama lapan minggu antara dos pertama dengan kedua.

Dalam usaha mempercepatkan pemberian pelalian itu kepada kanak-kanak, sebanyak 1,055 sekolah dikenal pasti sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) bawah program terbabit dan akan mula beroperasi selewat-lewatnya Isnin ini.

KKM menyasarkan 70 peratus kanak-kanak yang layak, akan menerima suntikan dos pertama vaksin itu dalam tempoh dua bulan pertama pelaksanaan PICKids sebelum lengkap dua dos dalam tempoh enam bulan.

Dalam pada itu berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, seramai 13,068,547 atau 55.8 peratus populasi dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak vaksin COVID-19, setakat semalam.

Seramai 22,935,622 individu (98 peratus) populasi itu sudah lengkap vaksinasi, manakala 23,211,391 (99.2 peratus) menerima sekurang-kurang satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, seramai 2,795,030 individu (88.8 peratus) telah lengkap vaksinasi, manakala 2,873,015 (91.3 peratus) menerima sekurang-kurang satu dos vaksin.

Semalam, sebanyak 160,193 dos vaksin diberikan meliputi 20,703 dos pertama, dos kedua (1,578) dan dos penggalak (137,912), menjadikan jumlah kumulatifnya kini mencecah 64,776,270 dos. - BERNAMA

Berita Harian X