Jumaat, 11 Februari 2022 | 9:53pm
Kerja naik taraf bagi mengelak masalah air bertakung di Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus akan mengambil tempoh sekitar sebulan. - Foto tular
Kerja naik taraf bagi mengelak masalah air bertakung di Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus akan mengambil tempoh sekitar sebulan. - Foto tular

Naik taraf Lebuhraya Bukit Kukus ambil masa sebulan - MBPP

GEORGETOWN: Kerja-kerja naik taraf bagi mengelak masalah air bertakung di Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus akan mengambil masa sekitar sebulan, kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang.

Beliau berkata, pihaknya sudah menambah 10 saluran keluar air di kedua-dua arah jalan, di samping menukar sistem paip sedia ada bersaiz empat inci kepada enam inci bagi melancarkan aliran air meskipun sekiranya air itu tercemar dengan sampah seperti plastik yang menjadi punca paip tersumbat sebelum ini.

"Idea ini dicadangkan oleh jurutera reka bentuk daripada MBPP dan pakar daripada Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM) dan kerja-kerja itu sedang dilaksanakan oleh kontraktor sekarang ini.

"Tiada kesalahan pada reka bentuk asal, namun sekiranya terjejas dengan sampah sarap, perkara ini boleh berlaku. MBPP akan menyenaraikan perkara ini dalam tanggungan kecacatan kepada pihak kontraktor," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, tempoh tanggungan kecacatan (DLP) projek lebuhraya itu sudah bermula pada 24 Disember tahun lalu dan akan berakhir pada 24 Disember 2023.

Fasa 1 projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus bernilai RM378.2 juta itu mengambil tempoh enam tahun untuk disiapkan, yang juga antara peruntukan paling besar dibiayai oleh MBPP setakat ini.

Sementara itu, pihak MBPP turut mengambil langkah persediaan awal bagi menghadapi fenomena cuaca luar biasa dengan menggandakan kerja-kerja pembersihan longkang, parit dan kawasan sekitar untuk mengelak ia daripada tersumbat dan mengakibatkan air melimpah.

Selasa lalu, hujan lebat dan angin kuat yang melanda beberapa kawasan di bahagian pulau di Pulau Pinang menyebabkan lebih 20 kawasan merekodkan kejadian pokok tumbang dan struktur bumbung tercabut dalam kejadian kira-kira jam 5 petang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Pulau Pinang memaklumkan, kejadian angin kencang yang berlaku di negeri itu Selasa lalu berpunca daripada awan Cumulonimbus yang membawa ribut petir berskala kecil, dan ia boleh berlaku pada sebelah petang sepanjang minggu ini, dan pihaknya akan sentiasa memantau serta mengemas kini amaran cuaca dari semasa ke semasa.

Selain itu, MBPP turut mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan pokok di tepi jalan bagi mengelakkan ia daripada tumbang atau berlaku kejadian dahan patah ketika musim cuaca luar biasa. - BERNAMA

Berita Harian X