Jumaat, 11 Februari 2022 | 9:41pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

UiTM sedia terima kemasukan pelajar mulai Mac ini

SHAH ALAM: Majlis Eksekutif Universiti Universiti Teknologi MARA (UiTM) meluluskan pelaksanaan kemasukan semula pelajar ke kampus secara berperingkat bermula Mac ini.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor dalam kenyataan berkata keputusan itu membabitkan Sesi II 2021/2022 (Mac – Ogos 2022) berdasarkan Pelan Tindakan Perkuliahan Open and Distance Learning (ODL) 5.0.

Katanya, kemasukan bagi sesi perkuliahan itu akan bermula pada 27 Mac bagi negeri Kedah, Kelantan, Johor dan Terengganu dan 28 Mac bagi negeri-negeri lain.

"Pengajaran dan pembelajaran akan terus dilaksanakan secara hibrid.

"Pelajar yang berkeperluan akan diutamakan dahulu untuk ke hadir kampus mengikut kategori pelajar dan kesesuaian kapasiti.

"Ia meliputi semua ruang persekitaran sesuatu kampus termasuk kolej serta ruang pengajaran dan pembelajaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, segala aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang melibatkan pelajar sepanjang berada di kampus akan sentiasa dipantau supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sudah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan UiTM dari semasa ke semasa.

Katanya, UiTM mengambil maklum perkembangan semasa COVID-19 yang masih tidak menentu justeru aspek keselamatan dan kesihatan pelajar menjadi keutamaan bagi pihak universiti dalam memastikan kesediaan serta proses kemasukan dan keberadaan pelajar di kampus dirancang dengan teliti serta rapi.

"Sehubungan itu, pihak UiTM sudah menyediakan pekeliling rasmi berkenaan tatacara dan jadual kemasukan bagi Pelan Tindakan Perkuliahan ODL 5.0 yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat," katanya.

Terdahulu, kerajaan sebelum ini mengumumkan kebenaran kemasukan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ke kampus secara berperingkat mulai 1 Mac ini, dengan kapasiti 70 peratus hingga 100 peratus.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 ke-12, yang memperhalusi cadangan daripada KPT berhubung kemasukan pelajar ke IPT, membabitkan universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan IPT swasta.

Berita Harian X