Jumaat, 11 Februari 2022 | 7:22pm

119 kes varian Omicron dikesan - KKM

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan sejumlah 188 kes COVID-19 varian membimbangkan (VOC) sejak dua hari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes yang dikesan itu adalah dari 9 Februari hingga hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah kes yang dikesan, sebanyak 119 kes adalah varian Omicron, manakala 69 kes lagi varian Delta.

"Semua 188 kes baharu itu dikenal pasti oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

"Sejumlah 51 kes Omicron dikesan di Selangor, Sabah (17), Kuala Lumpur (13), Kelantan (11), masing-masing enam kes di Perak dan Pulau Pinang, Negeri Sembilan (lima), Kedah (empat), Johor (tiga), Pahang (dua) dan Terengganu (satu).

"Bagi varian Delta pula, sebanyak 45 kes dikesan di Selangor, Sabah (19), Kuala Lumpur (empat) dan Negeri Sembilan (satu)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 dikategorikan sebagai VOC dan varian mendapat perhatian (VOI) adalah sebanyak 7,586 kes.

"Daripada jumlah yang dikesan ini, sebanyak 7,566 kes adalah VOC serta 20 kes VOI. Secara keseluruhan sehingga kini bagi VOC terdapat 6,504 kes Delta, Omicron (815 kes), Beta (233 kes) dan Alpha (14 kes).

"Bagi kes VOI pula, terdapat 13 kes varian Theta, Kappa (empat) dan Eta (tiga)," katanya.

https://covidnow.moh.gov.my/bm/cases
https://covidnow.moh.gov.my/bm/cases

Berita Harian X