Jumaat, 11 Februari 2022 | 2:00pm
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Azri Ahmad menyaksikan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail (kiri) menyerahkan Nota Serah Tugas kepada Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata pada Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak (IPK), hari ini. - Foto BERNAMA
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Azri Ahmad menyaksikan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail (kiri) menyerahkan Nota Serah Tugas kepada Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata pada Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak (IPK), hari ini. - Foto BERNAMA

Jangan mudah leka dengan kelonggaran PPN Fasa 4

KUCHING : Peningkatan semula kes jangkitan COVID-19 di Sarawak memberi isyarat supaya masyarakat tidak mudah rasa selesa dengan kelonggaran yang diberi kerajaan dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, sikap mudah leka itu dikhuatiri akan menyebabkan keadaan bertambah kritikal semula.

Justeru katanya, masyarakat harus terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan menjadikan kawalan kendiri sebagai amalan.

"Kehidupan kita menjadi sukar jika langkah sekatan pergerakan dilaksanakan untuk mengekang penularan dan sekarang kita lihat jangkitan seluruh negara meningkat semula.

"Oleh itu, masyarakat jangan sesekali leka walaupun keadaan sekarang agak selesa apabila banyak aktiviti dibenarkan," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Menyerah Tugas Pesuruhjaya Polis Sarawak di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Sarawak, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Aidi menyerahkan tugasnya kepada Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata dengan disaksikan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad.

Aidi yang pernah dijangkiti COVID-19 pada April 2020, berkata berdasarkan pengalamannya, beliau menghadapi tekanan perasaan amat kuat sebaik disahkan positif.

Katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020 menjadi pengalaman paling berharga sepanjang perkhidmatannya di Sarawak.

"Ketika PKP dikuatkuasakan, saya baru genap sebulan bertugas di Sarawak dan ia satu tugas yang mencabar kerana polis menjadi agensi yang mengetuai penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang penularan COVID-19.

"Banyak cabaran yang kami hadapi termasuk terpaksa mengerah sejumlah besar anggota untuk mengadakan sekatan jalan raya serta pemeriksaan premis bagi memastikan masyarakat mematuhi SOP," katanya.

Justeru beliau merayu kepada rakyat Sarawak agar terus mematuhi SOP dan menjaga keselamatan diri serta keluarga bagi mengelak keadaan menjadi semakin sukar semula.

Selain itu, beliau yang bertugas selama setahun lebih di Sarawak turut kagum dengan sikap rakyat Sarawak yang memberi kerjasama baik sepanjang proses Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12), Disember lalu.

"Kerjasama amat baik itu memastikan PRN-12 berjalan lancar dalam suasana cukup aman.

"Saya kagum dengan keadaan itu," katanya yang bertukar ke Bukit Aman untuk menjadi Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).

Berita Harian X