Jumaat, 11 Februari 2022 | 11:25am
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. - Foto fail BERNAMA
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. - Foto fail BERNAMA

Terapkan nilai S.W.I.F.T dalam pentadbiran awam - KSN

PUTRAJAYA: Penjawat awam perlu memiliki aspirasi dan keazaman inisiatif baharu melalui penerapan lima nilai iaitu pantas, pengetahuan bertaraf dunia, memberi inspirasi, fleksibel dan berasaskan teknologi (S.W.I.F.T ) tatkala negara sedang menuju ke fasa endemik.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata penjawat awam perlu menghayati nilai 'speed' iaitu perlu bertindak dan membuat keputusan dengan pantas dalam sesuatu urusan demi merealisasikan aspirasi kerajaan yang mengutamakan prestasi dan berpaksikan keutamaan kepada rakyat.

Nilai kedua, katanya, adalah pengetahuan bertaraf dunia atau 'world class knowledge' dalam diri setiap penjawat awam supaya mereka tidak lagi melaksanakan tugas sekadar apa yang dimahukan, sebaliknya melihat amalan terbaik negara luar yang boleh dijadikan tanda aras untuk melaksanakan sesuatu perkara.

Beliau berkata, nilai ketiga ialah memberi inspirasi (inspirational) yang perlu dititikberatkan oleh semua Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan untuk memberi inspirasi kepada pegawai bawahannya, dalam Perkhidmatan Awam.

"Bagi nilai keempat, kita mengajak setiap penjawat awam meneruskan nilai fleksibel iaitu tidak terlalu tegar kepada dasar dan peraturan dengan mengutamakan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terutamanya dalam situasi genting.

"Nilai berasaskan teknologi (technology-based) wajar diterapkan dalam melaksanakan setiap tugasan di pejabat, berikutan penggunaan teknologi amat kritikal bagi memastikan penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan pantas dan tuntas.

"Seiring dengan situasi semasa negara iaitu kita kini menuju ke fasa endemik, maka saya berpandangan sudah tiba masanya untuk menetapkan aspirasi dan keazaman kita ke arah inisiatif baharu yang lebih kehadapan iaitu nilai yang saya akronimkan sebagai 'S.W.I.F.T'.

"Ia merujuk kepada "speed", "world class knowledge", "inspirational", "flexible" dan "technology-based"," katanya pada Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara di Auditorium JAKIM, Kompleks Islam, di sini, hari ini.

Berita Harian X