Jumaat, 11 Februari 2022 | 10:07am
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

Perkhidmatan awam tiada integriti dipandang hina, jelek - KSN

PUTRAJAYA: Semua ketua jabatan dan penjawat awam perlu melipatgandakan usaha memperkukuhkan integriti serta tadbir urus menerusi pelaksanaan inisiatif di bawah pelan antirasuah organisasi (OACP) yang dibangunkan agensi masing-masing.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata integriti membabitkan tiga perkara dalam diri setiap manusia iaitu akal, nafsu dan perbuatan sama ada melalui lidah atau tangan.

Beliau berkata, kegagalan mengawal nafsu akan menyebabkan lidah dan tangan bermaharajalela, membawa kepada pencabulan integriti dalam diri.

"Perkara ini jika dibiarkan maka akan menjadi barah yang merebak ke seluruh organisasi dan akhirnya perkhidmatan awam kita ini akan dipandang hina dan jelek oleh masyarakat," katanya pada Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara di Auditorium JAKIM, Kompleks Islam, di sini, hari ini.

Majlis Amanat itu turut disiarkan secara langsung melalui Facebook Jabatan Perdana Menteri.

Mohd Zuki berkata, skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 negara sebanyak 48 dengan kedudukan ke-62 daripada 180 negara berbanding pada 2020 dengan skor 51 serta berada di kedudukan 57 daripada 180 negara.

Katanya, kedudukan Malaysia pada 2019 pula berada di tempat terbaik iaitu 51.

"Antara faktor terbesar peningkatan skor CPI ini ialah penubuhan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah (GIACC) serta pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

"Dalam hal lain, isu integriti dan tadbir urus dalam kalangan penjawat awam termasuk agensi penguatkuasaan juga menjadi isu hangat yang sering diperkatakan dalam media massa sama ada media perdana atau alternatif masa kini.

"Justeru, meskipun kadangkala kita tahu berita yang disampaikan itu mungkin tidak benar atau masih lagi dalam peringkat siasatan, namun, impaknya kepada imej perkhidmatan awam adalah besar," katanya.

Berita Harian X