Khamis, 10 Februari 2022 | 7:36pm

Nilai dagangan Malaysia-Turki cecah RM20.9 bilion menjelang 2025

PETALING JAYA: Turki menjangkakan nilai dagangan dua hala antara negara itu dan Malaysia mencapai AS$5 bilion (RM20.9 billion) menjelang 2025 dan secara beransur-ansur boleh meningkat hingga AS$10 bilion (RM41.8 bilion).

Pertumbuhan dalam perdagangan dua hala itu didorong oleh pengembangan perjanjian Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara kedua-dua negara yang disasarkan dimuktamadkan pertengahan tahun ini.

Duta Turki ke Malaysia, Merve Safa Kavakci, berkata Malaysia adalah antara rakan strategik Turki di ASEAN, dengan nilai dagangan dua hala yang dicatatkan tahun lalu juga meningkat 50 peratus biarpun berdepan cabaran pandemik.

"Kami melihat Malaysia sebagai rakan strategik utama kepada Turki dan tahun lalu kita mengakhirinya dengan pencapaian hampir 50 peratus peningkatan dalam perdagangan dua hala iaitu melebihi nilai AS$3.5 bilion (RM14.64 bilion) walaupun berdepan dengan pandemik COVID-19.

"Malaysia juga menjadi antara rakan dagangan terbaik dalam kalangan negara ASEAN lain buat Turki dan antara produk yang dieksport ke negara kami termasuk minyak kelapa sawit, aluminium dan sarung tangan perubatan.

"Kami melihat Malaysia bukan sahaja sebagai rakan dagangan terbaik, malah sebagai pintu masuk dan hab perdagangan bagi rantau ASEAN dan begitu juga melalui Turki, Malaysia dapat menembusi pasaran Asia Barat, Afrika, Eropah serta Amerika," katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, beliau bersama kakitangan kedutaannya mengadakan lawatan ke Sri Pentas di sini bagi meninjau operasi berita Media Prima Berhad (MPB), disamping menghadiri sesi taklimat bersama pengurusan kanan MPB bagi mendapatkan input berkenaan pemasaran.

Syed Hussian (kanan), mengiringi Duta Turki, Dr Merve Safa Kavakci (dua, kiri), ketika lawatan Duta Turki ke Media Prima Berhad di Sri Pentas, Bandar Utama. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Syed Hussian (kanan), mengiringi Duta Turki, Dr Merve Safa Kavakci (dua, kiri), ketika lawatan Duta Turki ke Media Prima Berhad di Sri Pentas, Bandar Utama. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Kehadiran beliau pada kira-kira jam 11 pagi itu disambut Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid serta Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali, yang turut mengiringinya melawat Bilik Berita TV3 serta stesen radio MPB.

Mengenai FTA, Dr Merve berkata, pihaknya gembira Malaysia sudah mengambil inisiatif mengembangkan lagi perjanjian ini memandangkan FTA antara Turki dan Malaysia sudah terjalin sejak 2014 lagi.

"Kami menyambut baik kunjungan rasmi (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Datuk Seri Mohamed Azmin ke Turki sebelum ini untuk membincangkan mengenai FTA dan sekarang ia dalam proses teknikal dan dijangka selesai menjelang pertengahan 2022," katanya.

Mengulas lanjut, Safa Kavakci berkata komitmen Turkish Aerospace membuka pejabat baharunya, pusat reka bentuk dan kejuruteraan pertamanya di Asia Tenggara yang bertempat kampus Cyberview Futurise di Selangor, dijangka mampu melatih 100 jurutera tempatan.

"Mereka akan melatih 100 jurutera di Malaysia dan jumlahnya akan meningkat hingga 1,000 orang dalam tempoh terdekat. Kedua-dua negara akan terus berusaha untuk meraih manfaat menang-menang dalam mewujudkan peluang pekerjaan antara kedua-duanya," katanya.

Berdasarkan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), menjadi negara aeroangkasa terkemuka di Asia Tenggara adalah salah satu tumpuan negara bagi memenuhi objektif yang lebih luas untuk mencapai Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia.

Hingga Jun 2021, sejumlah 13 projek pembuatan dengan penyertaan Turki telah diluluskan dengan jumlah pelaburan RM510.4 juta.

Syed Hussian (tengah), mengiringi Duta Turki, Dr Merve Safa Kavakci (kanan) ketika lawatan Duta Turki ke Media Prima Berhad di Sri Pentas, Bandar Utama. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Syed Hussian (tengah), mengiringi Duta Turki, Dr Merve Safa Kavakci (kanan) ketika lawatan Duta Turki ke Media Prima Berhad di Sri Pentas, Bandar Utama. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X