Khamis, 10 Februari 2022 | 4:24pm
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada Program Sesi Dialog Industri Agromakanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di Putrajaya. Turut kelihatan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan ll, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada Program Sesi Dialog Industri Agromakanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di Putrajaya. Turut kelihatan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan ll, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

MAFI akan perkenal skim insurans takaful agromakanan

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mewujudkan skim insurans takaful membabitkan bidang agromakanan yang dijangka dilaksanakan pada suku kedua tahun ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata ia bertujuan memastikan semua pihak yang terbabit dalam industri itu dilindungi pada masa hadapan.

Projek rintis itu akan dimulakan dengan sub-sektor padi dan beras terlebih dahulu diikuti dengan industri agromakanan lain. MAFI sudah melantik Agrobank bagi mengetuai usaha itu dan ia sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) bagi merancakkan industri agromakanan di negara ini.

"Negara masih belum melaksanakan skim insurans ini berbanding negara jiran yang sudah mengadakannya lebih awal bagi melindungi industri pertanian.

"Ia perlu kerana sebelum ini banyak pesawah berdepan bencana alam dan Kerajaan terpaksa membelanjakan kos yang tinggi bagi membantu mereka," katanya selepas Dialog Industri Agromakanan 2022 di kementeriannya hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri II MAFI, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Skim insurans itu sudah lama dilaksana di beberapa negara seperti China, Korea Selatan, Filipina dan Vietnam bagi memastikan tahap keselamatan makanan terjamin.

Kiandee berkata, Malaysia antara negara yang belum mempunyai skim insurans agromakanan dan kerajaan mendapati industri ini perlu ada perlindungan secara menyeluruh.

Agrobank sudah diminta merangka model skim polisi yang sesuai sebelum ia dilaksanakan membabitkan industri padi dan beras.

Mengenai dialog itu, Kiandee berkata, ia bertujuan mengenal pasti isu sektor agromakanan khususnya aspek sekuriti makanan dan mengambil langkah intervensi yang sesuai mengikut perkembangan semasa, menyeluruh serta holistik dalam usaha memperkasa sektor agromakanan negara.

Berita Harian X