Khamis, 10 Februari 2022 | 3:00pm
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Mohd Syafiq Abdullah (kanan) dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu berkuat kuasa hari ini. - Foto Twitter Mohd Zuki Ali
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Mohd Syafiq Abdullah (kanan) dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu berkuat kuasa hari ini. - Foto Twitter Mohd Zuki Ali

Mohd Syafiq Abdullah dilantik KPPA

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Mohd Syafiq Abdullah dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata perlantikan sebagai KPPA itu sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Pelantikan ini berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan serta pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Saya yakin dengan pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki oleh beliau, ia mampu menggalas amanah dan tanggungjawab dalam menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi kerajaan.

"Kerajaan juga merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman atas segala khidmat bakti beliau sepanjang perkhidmatan sebagai KPPA," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shafiq, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Meiji, Jepun.

Beliau berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam selama 30 tahun dengan jawatan pertama yang disandang sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Istiadat, Jabatan Perdana Menteri pada 1 Disember 1992.

Berita Harian X