Rabu, 9 Februari 2022 | 10:58pm

PTPTN anjur kempen mudahkan peminjam buat bayaran balik

KUALA LUMPUR: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini boleh membayar balik pinjaman mereka dengan mudah melalui kempen Click, Pay & Earn 2022.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, berkata kempen itu adalah kerjasama kedua dengan Shopee, BESTPay dan SpayGlobal (SarawakPay) sejak 2021 untuk menggalak dan memudahkan bayaran balik pinjaman, selain menghargai peminjam yang komited membayar balik pinjaman pendidikan mereka.

"PTPTN mengadakan kerjasama strategik bersama rakan e-dompet untuk menarik minat peminjam membuat bayaran balik dan pada masa sama, berpeluang mendapat ganjaran ditawarkan dalam tempoh kempen.

"Ini juga antara usaha membudayakan kaedah pembayaran secara digital dalam kalangan pelanggan PTPTN," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kempen yang bermula 8 Februari hingga 30 April ini memerlukan peminjam membayar balik dengan nilai minimum mengikut saluran pilihan dalam tempoh itu untuk melayakkan mereka mendapat ganjaran ditawarkan.

Melalui kempen itu, peminjam yang membuat bayaran balik minimum RM100 dalam satu transaksi menggunakan ShopeePay (Shopee) berpeluang mendapat baucar diskaun RM5 tertakluk kepada 30 pengguna terawal setiap hari.

Bagi BESTPay (BP) pula, bayaran pinjaman minimum RM100 dalam satu transaksi membolehkan 30 pengguna terawal mendapatkan lima kredit BP semasa slot BESTPay satu jam Happy Hour dalam masa tertentu, manakala bagi bayaran balik pinjaman minimum RM10 dalam satu transaksi SpayGlobal, 100 pengguna terawal setiap bulan akan menerima baucar RM2.

Untuk maklumat lanjut, boleh melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my. – BERNAMA

Berita Harian X