Rabu, 9 Februari 2022 | 8:28pm

116 calon SPM Melaka dijangkiti COVID-19, tak duduki peperiksaan

MELAKA: Seramai 116 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di negeri ini tidak dapat menduduki peperiksaan itu bermula semalam selepas disahkan positif COVID-19 dan menjalani kuarantin.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Rais Yasin, berkata beliau bersimpati dengan nasib pelajar terbabit yang dijangka menduduki peperiksaan itu semula pada April depan.

Beliau berkata, semua pelajar terbabit tidak dapat menduduki ujian lisan, mendengar dan bertutur Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris serta Amali Sains (Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan) yang bermula 8 hingga 24 Februari ini.

"Insya-Allah jika tiada aral melintang, mereka akan ambil ujian lisan SPM pada April nanti," katanya sambil memaklumkan jumlah calon SPM 2021 di Melaka seramai 13,134 orang.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Akademi Ragbi Melaka di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Akademi Ragbi yang pertama di Melaka itu diwujudkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas, dekat sini dan beroperasi sejak dua tahun lalu dengan 40 pelatih.

Sementara itu, ditanya kemungkinan sekolah di negeri ini akan ditutup kerana peningkatan kes positif dalam kalangan pelajar dan kakitangan sekolah, Rais berkata, kes COVID-19 adalah terkawal.

Katanya, berdasarkan data terkini, kluster pendidikan hanya berbaki 50 murid yang masih positif COVID-19, manakala seramai 206 orang masih dikuarantin.

"Jumlah murid positif yang sembuh pula seramai 179 orang, manakala murid yang dipotong gelang selepas selesai kuarantin seramai 690 orang.

"Keputusan menutup sekolah ini bukan di bawah kuasa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

"Sebaliknya penilaian dibuat secara berperingkat bermula dari Pejabat Kesihatan Daerah hingga Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum perbincangan dengan JPN.

"Alhamdulillah tiada sekolah ditutup, cuma murid asrama yang pulang bercuti sempena Tahun Baharu Cina kekal di rumah dan mengikuti Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR). Ini bermakna sekolah masih beroperasi," katanya.

Mengulas dakwaan penguat kuasa kesihatan dihalang mengadakan pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah, beliau berkata, pihaknya memberi jaminan JPN sentiasa memberi kerjasama penuh.

"Jika perlu diadakan pemeriksaan di sekolah, permohonan itu mesti daripada pihak berwajib dan saya jamin JPN akan beri kerjasama.

"Setakat ini saya tidak menerima sebarang aduan penguat kuasa kesihatan dilarang masuk," katanya.

Berita Harian X