Rabu, 9 Februari 2022 | 7:27pm

KKM kesan 280 kes VOC sejak 3 Februari

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 280 kes baharu varian membimbangkan (VOC) antara 3 Februari hingga hari ini membabitkan 185 kes varian Delta dan 95 kes varian Omicron.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata makmal Integrative Pharmacogenomics Institute,

Universiti Teknologi MARA (iPromise, UiTM) mengenal pasti 188 kes baharu, manakala UKM Medical Molecular Biology Institute dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) masing-masing mengenal pasti 46 kes baharu.

Beliau berkata, penemuan hasil penjujukan genom itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mendapat perhatian (VOI) adalah sebanyak 7,398 kes.

"Daripada jumlah yang dikesan, 7,378 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.

"Secara keseluruhan, sehingga kini bagi VOC terdapat 6,435 kes varian Delta, 696 kes varian Omicron, 233 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha.

"Bagi kes VOI, terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas penemuan varian baharu sehingga hari ini, Pulau Pinang merekodkan bilangan kes tertinggi iaitu 131 kes Delta dan 11 kes disumbang oleh varian Omicron.

Ia disusuli Pahang dengan 38 VOC iaitu 17 kes Delta dan 21 Omicron; Negeri Sembilan mencatatkan sebanyak 10 kes VOC Delta dan 18 Omicron.

Dr Noor Hisham berkata, Selangor melaporkan 12 kes Delta dan enam kes Omicron.

"Johor melaporkan dua kes Delta dan 15 Omicron; Kuala Lumpur melaporkan 14 kes Omicron; Melaka merekodkan satu kes Delta dan enam Omicron.

"Sabah melaporkan lima kes Delta begitu juga Perlis yang merekodkan empat kes Delta," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kelantan merekodkan tiga kes Omicron, dua kes Delta dikesan di Kedah, satu kes Delta di Labuan dan satu kes Omicron di Perak.

Berita Harian X