Rabu, 9 Februari 2022 | 6:41pm
Ketua Pengarah GIACC, Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan
Ketua Pengarah GIACC, Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan

8 inisiatif Pelan Antirasuah Nasional berjaya dilaksanakan

PUTRAJAYA: Lapan daripada 82 inisiatif yang digariskan dalam semakan separuh penggal Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 berjaya dilaksanakan sehingga peringkat output oleh agensi peneraju setakat 31 Disember lalu.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan, berkata 14 inisiatif daripada baki 74 inisiatif itu pula sedang dalam proses pelaksanaan pada peringkat output dan dijangka selesai pada pertengahan tahun ini.

Beliau berkata, kejayaan pelaksanaan itu adalah hasil momentum positif ditunjukkan 27 agensi peneraju yang terbabit dalam pelaksanaan inisiatif berkenaan.

"GIACC yakin dapat melaksanakan lebih banyak inisiatif NACP sepanjang tahun ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sallehhuddin berkata, semua ketua agensi peneraju perlu memberi fokus terhadap inisiatif mustahak untuk dilaksanakan seiring dasar kerajaan ketika ini yang menjurus ke arah pemulihan sektor ekonomi dan sosial negara.

Antara ketua agensi peneraju terbabit melaksanakan inisiatif NACP adalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Audit Negara, Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya.

NACP 2019-2023 adalah pelan lima tahun kerajaan yang dilancarkan pada 29 Januari 2019 dengan menggariskan wawasan jangka panjang tindakan antirasuah ke arah negara bebas rasuah menerusi pelaksanaan 115 inisiatif.

Mohd Sallehhuddin berkata, ketika ini semua inisiatif sedang dilaksanakan dipantau GIACC supaya berada di landasan tepat memandangkan pelaksanaan semua inisiatif terbabit berakhir tahun depan. – BERNAMA

Berita Harian X