Rabu, 9 Februari 2022 | 6:07pm
Pemilik ladang timun fertigasi, Mohd Fikri Harun, menanggung kerugian kira-kira RM10,000 akibat banjir di Rantau Panjang, Kelantan, baru-baru ini. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pemilik ladang timun fertigasi, Mohd Fikri Harun, menanggung kerugian kira-kira RM10,000 akibat banjir di Rantau Panjang, Kelantan, baru-baru ini. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Bantuan usahawan PKS terjejas banjir ditambah baik

KUALA LUMPUR: Bantuan Banjir Keluarga Malaysia untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terjejas akan ditambah baik, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.

Perdana Menteri berkata, antara pendekatan diambil ialah pemberian geran bernilai RM3,000 melalui TEKUN Nasional kepada setiap perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir, membabitkan peruntukan berjumlah RM50 juta bagi lebih 15,000 peniaga.

Langkah kedua, katanya, ialah penyediaan dana tambahan RM50 juta melalui Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di bawah TEKUN Nasional, khusus untuk perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir.

Katanya, ia membabitkan pinjaman mikro sehingga RM10,000 tanpa faedah dengan tempoh bayar balik sehingga lima tahun berserta moratorium 12 bulan.

"Ketiga, dana sebanyak RM100 juta disediakan melalui Program SME Emergency Fund (SMEEF) di bawah SME Corp untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terjejas, pinjaman sehingga RM100,000 tanpa faedah dengan tempoh bayar balik sehingga lima tahun berserta moratorium 12 bulan.

"Keempat, jumlah kerugian yang dilaporkan sektor pertanian kesan daripada bencana banjir Disember lalu adalah RM91 juta manakala bantuan yang telah disalurkan berjumlah RM21 juta.

"Kerajaan meluluskan bantuan tambahan kepada pengusaha agromakanan yang terjejas banjir melalui suntikan dana RM20 juta untuk Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Di bawah TBTP, Perdana Menteri berkata, pesawah yang mengalami kemusnahan tanaman padi akibat banjir bakal menerima bantuan tunai sehingga RM1,800 setiap hektar dengan maksimum sehingga tiga hektar.

Bagi pengusaha pertanian lain, katanya, sejumlah RM50 juta tambahan disediakan di bawah Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA).

"Di bawah PPSPA, petani, penternak dan peladang yang terjejas akibat kerosakan banjir layak memohon bantuan sehingga maksimum 50 peratus daripada jumlah kerugian.

"Kadar dan had bantuan adalah mengikut garis panduan tabung itu dan diberi dalam bentuk barangan iaitu input pertanian atau peralatan.

"Kerajaan akan terus komited meringankan beban semua golongan terjejas akibat banjir seperti PMKS dan pengusaha Agromakan dengan sentiasa bersedia untuk menyediakan bantuan yang sewajarnya," katanya.

Disember lalu, kerajaan mengumumkan dana pinjaman RM500 juta untuk Kemudahan Bantuan Bencana yang membabitkan pinjaman kepada PKS sehingga RM700,000 pada kadar faedah sehingga 3.5 peratus setahun dengan moratorium enam bulan.

Di samping itu, dana RM30 juta disediakan melalui TEKUN Nasional untuk pinjaman sehingga RM10,000 kepada usahawan mikro dan informal.

Berita Harian X