Rabu, 9 Februari 2022 | 5:30pm
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

'Izinkan ceramah kecil-kecilan di tempat terbuka'

KUALA LUMPUR: Kebenaran ceramah kecil-kecilan di tempat terbuka wajar dibenarkan dan menjadi antara kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata negara bakal memasuki fasa endemik COVID-19 dan rakyat perlu mula belajar menjalankan aktiviti hampir sama seperti sebelum pandemik.

"Bagaimanapun, isunya adalah mereka yang belum atau enggan mengambil vaksin akan terus berisiko terhadap jangkitan.

"Segala SOP termasuk penjarakan fizikal dan tidak bersentuhan perlu diamalkan, manakala ceramah secara kecil-kecilan di tempat terbuka berbanding di ruang tertutup seperti dewan atau balai raya patut dibenarkan," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas pandangan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, sebelum ini supaya Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempertimbang memberi sedikit kelonggaran kepada calon parti politik yang akan berkempen pada PRN Johor.

Katanya, kelonggaran itu mungkin sekurang-kurangkan membabitkan program tinjauan mesra supaya calon dapat bertemu pengundi di kedai dan pasar, selain berpeluang memperkenalkan diri kepada pengundi muda susulan pelaksanaan Undi 18 buat kali pertama pada PRN ini.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berpendapat, SPR tidak akan mengumumkan SOP itu lebih awal seperti yang diminta parti politik.

"Saya sudah berhenti berharap mengenai hal ini. Selain itu, saya melihat tempoh kempen 14 hari bagi PRN Johor tidak mencukupi.

"Lebih baik SPR memberi lebih masa kerana banyak aktiviti kempen membabitkan pengundi sudah tidak relevan dalam konteks pandemik," katanya.

SPR hari ini menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dan penamaan calon pada 26 Februari, sekali gus menyaksikan tempoh berkempen selama 14 hari.

SPR bagaimanapun belum mengumumkan SOP bagi PRN berkenaan.

Berita Harian X