Rabu, 9 Februari 2022 | 5:26pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

3,333 kes baharu di Sabah, tertinggi dalam dua tahun

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 3,333 kes baharu COVID-19 hari ini, jumlah tertinggi pernah direkodkan sepanjang kira-kira dua tahun pandemik.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata jumlah itu membabitkan peningkatan tertinggi pernah direkodkan berbanding 2,069 kes semalam.

Bagaimanapun, katanya 3,318 kes atau 99.55 peratus kes hari ini berada dalam kategori 1 dan kategori 2, diikuti masing-masing enam kes dalam kategori 3 dan kategori 4, manakala tiga kes dalam kategori 5.

"Secara keseluruhan semua 27 daerah di Sabah mencatat jangkitan baharu hari ini dengan 10 daerah merekodkan kes tiga angka berbanding hanya tujuh daerah semalam.

"Daerah Kota Kinabalu mencatat jumlah jangkitan tertinggi dengan sebanyak 591 kes, diikuti Sandakan (510 kes), Penampang (324 kes), Tuaran (266 kes), Papar (224 kes), Ranau (196 kes), Tawau (191 kes), Lahad Datu (169 kes), Beaufort (116 kes) dan Kota Marudu (102 kes)," katanya dalam kenyataan.

"Jumlah kes melalui saringan bergejala yang sinonim dengan jangkitan sporadik juga amat tinggi, iaitu 1,724 kes atau hampir 52 peratus daripada jumlah keseluruhan kes baharu hari ini.

"Sejumlah 185 kes baharu berpunca daripada 30 kluster yang masih aktif dengan 22 daripadanya adalah kluster institusi pendidikan. Hari ini, tiga lagi kluster baharu pendidikan diisytiharkan di Beluran, Keningau dan Kinabatangan," katanya.

Tiga kluster baharu yang diisytiharkan di Sabah hari ini adalah jangkitan dalam institusi pendidikan iaitu Kluster Simpangan Paitan, Beluran; Kluster Access Menawo, Keningau dan Kluster Bukit Garam, Kinabatangan.

Ketiga-tiga kluster baharu itu menyumbang sebanyak 75 kes pada hari ini.

Berita Harian X