Rabu, 9 Februari 2022 | 4:47pm
Azmi Hassan (kanan) dan Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian. - Foto NSTP
Azmi Hassan (kanan) dan Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian. - Foto NSTP

'Umum segera SOP PRN Johor'

KUALA LUMPUR: Pengumuman prosedur operasi standard (SOP) bagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu diumumkan secepat mungkin bagi membolehkan calon dan parti politik yang bertanding merancang gerak kerja bersesuaian untuk mendekati pengundi.

Penganalisis politik juga berpendapat, sebarang 'lubang' pada SOP yang dilaksanakan pada PRN sebelum ini perlu diteliti dan ditambah baik supaya ia tidak disalah gunakan parti serta calon.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, berkata SOP kempen PRN Johor perlu dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih awal bagi memudahkan calon dan pada masa sama, mengelak institusi itu dikritik seperti sebelum ini.

"SOP lebih awal akan membolehkan calon dan parti politik mencari pendekatan tertentu yang sesuai untuk berkempen dalam situasi seperti ini, jadi ia perlu diumumkan secepat mungkin.

"Selain itu, bagi saya, tempoh berkempen selama 14 hari bagi PRN Johor ini juga adalah berdasarkan trend semasa dan memberi ruang secukupnya kepada parti serta calon untuk bergerak mendekati pengundi.

"Dalam keadaan sekarang, pengundi juga akan berhati-hati dan mengutamakan kesihatan mereka, susulan jumlah kes COVID-19 yang sedang meningkat," katanya kepada BH, hari ini.

SPR hari ini menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dan penamaan calon pada 26 Februari, sekali gus menyaksikan tempoh berkempen pada PRN itu selama 14 hari.

Bagaimanapun, SPR masih belum mengumumkan SOP bagi PRN berkenaan.

Berhubung sama ada kelonggaran perlu diberi bagi SOP PRN Johor, berbanding PRN Melaka dan Sarawak sebelum ini, Sivamurugan berpendapat, kelonggaran itu wajar supaya calon boleh bertemu pengundi secara terbuka, namun belum boleh membabitkan program ceramah dengan kehadiran ramai.

"Barangkali SPR boleh belajar daripada apa yang berlaku di Melaka dan pada PRN Johor, mungkin kelonggaran tertentu boleh diberikan, sekurang-kurangnya berjumpa di pasar atau kedai makan. Itu pun sudah menjadi satu kelonggaran besar," katanya.

Sementara itu, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan, juga berpandangan SOP kempen perlu dimaklumkan lebih awal supaya pihak terbabit dapat membuat persediaan.

"Saya harap SOP ini diumumkan pagi tadi (semalam), tetapi tidak berlaku. Ini sudah kali ketiga PRN diadakan, jadi ia sewajarnya diumumkan.

"Jika SOP itu sama dengan Melaka, maklumkan ia sama," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju jika SOP itu dilonggarkan kerana jumlah kes COVID-19 yang tinggi ketika ini, selain penularan varian Omicron mudah menjangkiti.

"Kelonggaran tidak wajar diberikan, yang mana calon boleh berkempen secara fizikal. Apa yang dilaksanakan pada PRN Melaka perlu diikuti.

"Bagaimanapun, saya berharap 'lubang' SOP yang digunakan oleh mereka yang berkempen seperti mendakwa tidak berkempen, tetapi hanya melawat sebagai pelancong, harus diteliti oleh SPR dan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya SOP ini tidak dipergunakan," katanya.

Berita Harian X