Rabu, 9 Februari 2022 | 4:11pm
Azri pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini. - FOTO BERNAMA
Azri pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini. - FOTO BERNAMA

Hanya 1 daripada 7 kematian OKT ada unsur jenayah

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan setakat ini terdapat tujuh kes kematian Orang Kena Tahan (OKT) dengan hanya satu kes membabitkan unsur jenayah.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad, berkata daripada tujuh kes dilaporkan itu, empat daripadanya adalah kematian dalam lokap.

Katanya, dua lagi kes meninggal dunia di hospital, manakala satu kes membabitkan kematian ketika OKT dalam perjalanan ke hospital.

"Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS yang ditubuhkan pada 1 Januari lalu, memberi jaminan setiap kes kematian dalam tahanan atau jagaan PDRM akan disiasat secara telus tanpa sebarang kompromi.

"USJKT akan memajukan enam kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut sama ada memerlukan inkues atau sebaliknya," katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini.

Azri berkata, bagi mengatasi masalah ini, PDRM mencadangkan untuk mewujudkan klinik bersepadu di setiap lokap bagi memantau tahap kesihatan OKT, namun ia masih lagi di peringkat cadangan kerana memerlukan kos besar.

"Prosedur operasi standard (SOP) dibuat PDRM setakat ini, sekiranya ada OKT mengalami masalah kesihatan, kami akan rujuk kepada hospital berdekatan," katanya.

Sementara itu, mengulas USJKT, beliau berkata pihaknya akan mempertingkatkan integriti PDRM dalam siasatan kes kematian dalam tahanan.

Selain itu, Azri berkata, JIPS akan mengurangkan salah laku dalam kalangan anggota PDRM dan memastikan tindakan undang-undang diambil jika terdapat bukti kukuh salah laku dalam kes ini.

"USJKT ditubuhkan untuk mengembalikan keyakinan orang awam terhadap PDRM dalam pengurusan kes kematian dalam tahanan. Jika berlaku kematian dalam tahanan ia boleh menjadi kes sensitif, maka inilah peranan USJKT," katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan USJKT ditubuhkan pada 1 Januari lalu adalah untuk menyiasat kes kematian ketika berada dalam tahanan dan penubuhan bertujuan memperbaiki imej serta integriti PDRM. -- BERNAMA

Berita Harian X