Rabu, 9 Februari 2022 | 3:13pm
Air zamzam yang dijual secara dalam talian dan media sosial.
Air zamzam yang dijual secara dalam talian dan media sosial.

Jual air zamzam dalam talian, media sosial

KUALA LUMPUR: Kegiatan menjual air zamzam di negara ini masih berleluasa dengan kebanyakan penjual mempromosikannya melalui media sosial dan pelbagai platform e-dagang.

Tinjauan BH di media sosial mendapati, ramai penjual mengiklankan produk air zamzam yang didakwa didatangkan terus dari Arab Saudi.

Kebanyakan penjual menawarkan air zamzam dalam botol besar bersaiz lima liter, pada harga yang tinggi iaitu sekitar RM160 hingga RM190 sebotol.

Ada juga peniaga yang menjual air zamzam dalam botol lebih kecil iaitu 450 mililiter (ml) bersama kurma pada harga sekitar RM45.

Menerusi tinjauan di Facebook, kebanyakan penjual memberitahu, harga air zamzam kini lebih mahal disebabkan kos logistik yang tinggi.

Pada bulan lalu, air zamzam lima liter dijual sekitar RM130 hingga RM140, bagaimanapun ia meningkat kepada RM160 sehingga RM190 sebotol, ketika ini.

Penjual juga mendakwa, air zamzam serta kurma itu tulen dan dihantar terus ke rumah pengguna dari Makkah.

Penjual juga menawarkan ujian menggunakan alat Total Dissolved Solid (TDS), yang kononnya mampu mengukur keaslian air itu bagi meningkatkan keyakinan pembeli.

Siasatan wartawan BH mendapati, ada penjual yang mendapatkan bekalan menerusi kegiatan penyeludupan, didakwa turut didalangi mutawwif yang membawa dan menguruskan jemaah umrah di Tanah Suci.

Dalam perbualan melalui aplikasi WhatsApp, seorang penjual lelaki yang mengakui berkhidmat sebagai mutawwif di sebuah agensi umrah di ibu kota berkata, bekalan itu diperoleh melalui rakannya yang bekerja di Makkah.

"Saya jual air zamzam asli dari Makkah, namun harga sekarang agak mahal kerana ia tidak boleh dibawa pulang menggunakan kapal terbang.

"Kami terpaksa guna perkhidmatan kontena kapal laut, jadi banyak modal terpaksa dikeluarkan, termasuk bayaran kapal, cukai barang dan kepada pihak kastam.

"Kos untuk bawa satu kontena air zamzam adalah RM50,000. Sebab itu, kami terpaksa jual mahal," katanya.

Beliau berkata, stok baharu dijangka tiba minggu depan, sebaik beliau berangkat ke Makkah untuk membawa rombongan jemaah umrah.

Seorang lagi penjual memaklumkan, stoknya hampir habis 'diborong' ibu bapa untuk anak yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

'Mungkin ada individu seludup masuk'

Agensi umrah tidak menolak kemungkinan ada individu yang menyeludup masuk air zamzam ke dalam negara dan menjualnya pada harga yang lebih tinggi.

Pengurus Umrah Muqmeen Travel and Tours Sdn Bhd, Mohd Khairil Azwan, berkata perkara itu boleh berlaku berikutan kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan lesen bagi membenarkan pengedaran air zamzam ke luar negara.

"Kemungkinan air zamzam yang dijual memang tulen tapi ia dijual tanpa lesen pengedaran yang sah.

"Mungkin ada yang buat kerja begini untuk meraih keuntungan," katanya kepada BH.

Mohd Khairil berkata, ada juga agensi umrah yang menjual semula air zamzam, namun secara tertutup dan hanya bagi mereka yang benar-benar memerlukannya.

"Agensi umrah ini tidaklah sampai membotolkan semula air zamzam ini. Selalunya, ia sebagai hadiah buat jemaah mereka," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata berdasarkan kes lalu, air zamzam yang dipasarkan di negara ini diperoleh dari negara lain, bukan Arab Saudi.

Beliau bagaimanapun mengingatkan orang ramai supaya tidak terjebak membeli air zamzam, khususnya yang dijual secara meluas melalui platform dalam talian.

"Kemungkinan berlaku penipuan adalah besar. Kita bimbang ia bukan air zamzam tulen," katanya.

Permintaan tinggi sukarkan banteras aktiviti

Persatuan pengguna berpendapat, kegiatan menjual air zamzam sukar dibanteras berikutan permintaan yang tinggi dan berterusan daripada pengguna.

Namun, apa yang lebih membimbangkan ialah ketulenan dan kualiti air zamzam itu, yang mungkin sudah tercemar.

Hatijah Hashim.
Hatijah Hashim.

Pegawai Penyelidik, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Hatijah Hashim, berkata umat Islam di negara ini sepatutnya sedar bahawa penjualan air zamzam sudah diharamkan oleh kerajaan sejak 2012.

"Kami sendiri tidak pasti sama ada air zamzam yang dipasarkan ini tulen atau tidak.

"Kami tidak menerima sebarang aduan mengenainya, malah kami juga tidak pernah menghantar sampel air zamzam ini ke makmal untuk pengesahan ketulenan," katanya.

Beliau berkata, pengguna perlu ingat, air zamzam berasal dari Makkah dan ia mengambil masa untuk tiba ke negara ini, sekali gus memungkinkan ia tercemar.

"Minum air zamzam secara terus di Tanah Suci dengan bawa pulang ke sini, berbeza. Air zamzam yang terus dari punca airnya adalah lebih baik," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata sukar untuk menangani penyeludupan air zamzam kerana ia antara minuman yang sentiasa mendapat permintaan dan dicari oleh umat Islam.

"Air zamzam ini sangat rapat dengan umat Islam, jadi tentunya mereka akan mencari-cari.

"Kami berharap ada perbincangan antara kedua-dua kerajaan untuk mencari penyelesaian terbaik, seperti melantik pengedar yang sah, contohnya Tabung Haji supaya air zamzam dapat dibawa masuk ke negara ini.

"Isu ini tidak akan selesai selagi larangan untuk mengeksport air zamzam dikekalkan," katanya.

Berita Harian X