Selasa, 8 Februari 2022 | 8:18pm

Pokok tumbang, bumbung tercabut ribut di Pulau Pinang

GEORGETOWN: Hujan lebat dan angin kuat yang melanda beberapa kawasan di bahagian pulau di Pulau Pinang menyebabkan banyak kejadian pokok tumbang dan struktur bumbung tercabut hari ini.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh, berkata beliau menerima maklumat daripada pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang memaklumkan terdapat beberapa laporan kejadian pokok tumbang, antaranya di Jalan Zainal Abidin, laluan ke Bukit Bendera dan Jalan Tengku.

"Setakat ini, 16 kawasan dilaporkan berlaku kejadian pokok tumbang, dan dalam kejadian di Jalan Tengku, sebatang pokok tumbang dilaporkan menghempap sebuah kereta, namun semasa kejadian tiada sesiapa berada dalam kenderaan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Anggota bomba meninjau kawasan ribut membabitkan bumbung stadium dan astaka makanan di hadapan Flat Seri Delima Mini Stadium, Sungai Ara tercabut akibat angin kuat. - Foto BERNAMA
Anggota bomba meninjau kawasan ribut membabitkan bumbung stadium dan astaka makanan di hadapan Flat Seri Delima Mini Stadium, Sungai Ara tercabut akibat angin kuat. - Foto BERNAMA

Beliau berkata, pihaknya juga menerima laporan kejadian di bangunan medan selera berdekatan stadium mini Sungai Ara, dekat sini yang rosak teruk selepas sebahagian struktur bumbung tercabut akibat dibawa angin kuat itu.

Phee berkata, struktur bumbung yang tercabut itu menghempap beberapa kenderaan yang terdapat di kawasan parkir berkenaan, namun tiada mangsa yang cedera dalam kejadian itu kecuali beberapa kenderaan rosak.

"APM dan kakitangan pembersihan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sedang menjalankan kerja-kerja pengalihan pokok serta pembersihan di lokasi kejadian," katanya.

Seorang peniaga di medan selera di Sungai Ara, Razak, 30-an berkata, kejadian itu berlaku sangat pantas dan terdapat beberapa pelanggan sedang menikmati hidangan di situ sebelum tiba-tiba hujan lebat dan angin kuat.

"Angin kuat itu membawa sebahagian struktur bumbung di medan selera di sini, Alhamdulillah kami semua selamat, cuma ada beberapa kenderaan rosak dihempap bumbung," katanya.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam satu laporan berkata penduduk di negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak dinasihatkan supaya berwaspada susulan amaran ribut petir dan hujan lebat pada malam Selasa.

Cuaca buruk itu membabitkan seluruh bahagian Pulau Pinang dan Perak sehingga pukul 9 malam ini. - BERNAMA

Mangsa ribut, Abdul Ghani Din, 60, membawa barang kegunaan rumahnya selepas bumbung rumahnya tercabut akibat angin kuat di hadapan Flat Seri Delima Mini Stadium, Sungai Ara hari ini. - Foto BERNAMA
Mangsa ribut, Abdul Ghani Din, 60, membawa barang kegunaan rumahnya selepas bumbung rumahnya tercabut akibat angin kuat di hadapan Flat Seri Delima Mini Stadium, Sungai Ara hari ini. - Foto BERNAMA

Kejadian ribut menyebabkan beberapa kedai di Sungai Ara mengalami kerosakan. - Foto Facebook
Kejadian ribut menyebabkan beberapa kedai di Sungai Ara mengalami kerosakan. - Foto Facebook
Berita Harian X