Selasa, 8 Februari 2022 | 7:34pm
Shahidan ketika meninjau Agrobazar dan Karnival Food Truck di Tapak Hot Spot Presint 2 di sini hari ini.
Shahidan ketika meninjau Agrobazar dan Karnival Food Truck di Tapak Hot Spot Presint 2 di sini hari ini.

Lesen bazar Ramadan dibuka luas seluruh Wilayah Persekutuan

PUTRAJAYA: Penganjuran bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan pada tahun ini akan dilaksanakan seperti biasa, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata kementerian itu akan membuka seluas-luasnya lesen bazar Ramadan kepada individu yang ingin menjalankan perniagaan pada tahun ini.

Katanya, ia bagi mengelak peniaga memanipulasi lesen dan tindakan akan diambil terhadap mana-mana individu yang menjual lesen dan melanggar undang-undang.

"Dalam keadaan pasca COVID-19 ini, ramai yang ingin mencari pendapatan melalui perniagaan dan kita akan beri kepada yang betul-betul ingin menjalankan perniagaan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Agrobazar dan Karnival Food Truck di Tapak Hot Spot Presint 2 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Jalaludin Alias; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Naib Presiden Kanan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud

Karnival Agrobazar dan Food Truck Putrajaya diadakan bermula semalam hingga Rabu menghimpunkan 100 peniaga dalam jualan secara terus antaranya seperti buah-buahan, tanaman kontan dan sayur-sayuran.

Pada majlis sama, Shahidan turut menanam pokok ke 50,000 dari jenis Sakura di pesisiran Tasik Putrajaya sempena Program Penghijauan Malaysia.

Shahidan berkata, program diadakan ini bertujuan memeriahkan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022.

Beliau berkata, pihaknya menggalakkan konsep Karnival Agro Bazar dan Food Truck ini diadakan di luar kawasan Putrajaya seperti Kuala Lumpur bagi membantu meningkatkan ekonomi peniaga.

"Inisiatif diadakan PPj ini bertujuan membantu peniaga kecil sederhana di pusat pentadbiran kerajaan di sini bagi memulihkan perniagaan selepas berhadapan pandemik Covid-19," katanya.

Berita Harian X