Selasa, 8 Februari 2022 | 6:06pm

174 kes MISC dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Seramai 63 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun di negara ini dilaporkan meninggal dunia akibat dijangkiti COVID-19 dalam tempoh enam bulan terakhir tahun lalu.

Pakar Perunding Pediatrik Hospital Tunku Azizah, Dr Sabeera Begum, berkata kanak-kanak dilihat terdedah dengan komplikasi serius akibat dijangkiti virus itu, khususnya sindrom keradangan pelbagai sistem dalam kanak-kanak (MISC).

Beliau berkata, kajian di 14 hospital kerajaan di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan antara November 2021 hingga bulan lalu mendapati, 174 kes MISC dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak.

"Dalam tempoh enam bulan iaitu antara Julai hingga Disember tahun lalu, seramai 270,000 kanak-kanak bawah 12 tahun dijangkiti COVID-19 dan 63 daripadanya meninggal dunia. Jumlah ini agak tinggi.

"Kajian di 14 hospital Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati 174 kanak-kanak dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat MISC selepas dijangkiti COVID-19 dan tujuh daripadanya meninggal dunia.

"MISC berlaku apabila radang yang teruk pada seluruh tubuh kanak-kanak selepas dijangkiti COVID-19 seperti jantung, paru-paru, otak, buah pinggang, mata dan kulit, sekali gus perlu dimasukkan ke ICU.

"Ada kanak-kanak ini dijangkiti COVID-19 kategori satu dan dua, namun MISC berlaku akibat virus ini dan akhirnya membawa kepada kematian," katanya katanya pada sesi Libat Urus Bersama Media-Penilaian dan Pemantauan Keselamatan Produk Vaksin COVID-19 secara dalam talian, hari ini.

Dr Sabeera menegaskan, pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun tepat masanya untuk melindungi kumpulan itu, khususnya mereka yang memiliki komorbiditi.

Katanya, kes COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun sedang meningkat di Malaysia dan seluruh dunia sejak awal tahun lalu, dipercayai akibat penularan varian Omicron.

"Kepada ibu bapa, pastikan segera bawa anak ke klinik atau hospital untuk merawat apa jua gejala pada anak-anak, seperti demam, selesema, cirit-birit dan muntah," katanya mengingatkan kepentingan menjaga kebersihan dan memastikan anak-anak minum air mencukupi.

Sementara itu, pakar kanak-kanak Hospital Raja Zainab 2 Kota Bharu, Dr Nik Khairulddin Nik Yussoff, menyarankan ibu bapa memastikan anak mereka memiliki rehat mencukupi sebelum membawa mereka mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Katanya, kanak-kanak yang bakal divaksin juga perlu berada dalam keadaan sihat serta makan dan minum yang cukup sebelum disuntik.

"Sebelum mengambil suntikan vaksin, pastikan anak makan dan minum secukupnya sebelum vaksin, serta aktif dan tiada masalah kesihatan seperti demam atau muntah.

"Pastikan mereka mendapat rehat yang cukup, dan jangan biarkan mereka lakukan aktiviti berat dalam tempoh seminggu selepas vaksin supaya mereka dapat pulih sepenuhnya tanpa sebarang masalah," katanya.

Berita Harian X