Selasa, 8 Februari 2022 | 5:47pm

Perancangan endemik sudah selesai - Hishamuddin

KUALA LUMPUR: Perancangan untuk beralih ke fasa endemik sudah dimuktamadkan dan akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menjelaskan keputusan mengenai tarikh peralihan itu kini akan ditentukan oleh jawatankuasa terbabit yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selain dianggotai pembangkang dan pakar berkaitan.

Beliau berkata, Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 turut memutuskan beberapa perkara berhubung peralihan endemik, termasuk jaminan bahawa tiada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara meskipun kes harian merekodkan peningkatan.

"Perancangan endemik sudah selesai, namun keputusan untuk tentukan bila fasa ini dilaksana bergantung kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob).

"Saya tahu banyak pihak mula bimbang susulan Omicon yang menyaksikan kes harian sedang meningkat, tetapi saya nak nyatakan kita tak boleh berganjak daripada melangkah ke fasa seterusnya.

"Maknanya, PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) hanya akan dibuat susulan kemungkinan peningkatan di lokaliti tertentu, tetapi PKP seluruh negara tak mungkin kita akan laksanakan kembali," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Mesyuarat bermula jam 3 petang tadi turut dihadiri Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri serta Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique.

Pada November tahun lalu, Hishammuddin memutuskan untuk memperhalusi semula langkah bagi mengumumkan fasa 'peralihan ke endemik' sehingga mendapat maklumat lanjut berhubung varian baharu COVID-19, Omicron.

Walaupun belum ada kes membabitkan varian Omicron di Malaysia ketika itu, kerajaan memutuskan untuk mengambil tindakan berhati-hati, berikutan varian berkenaan dilaporkan sangat pantas dan mudah berjangkit.

Bergantung kepada perkembangan semasa, Hishammuddin bagaimanapun berkata, dua perkara yang seandainya berlaku pada masa depan berupaya mengubah pendirian kerajaan berhubung peralihan ke fasa endemik.

"Setakat ini, saya dimaklumkan tadi jumlah kes harian yang meningkat ini tak jejaskan katil unit rawatan rapi (ICU) di hospital, justeru keadaan masih terkawal.

"Sekiranya berubah, kita kena fikir balik pendekatan semasa. Kedua, rakyat kena tahu tujuh perkara asas yang perlu difahami dalam peralihan ke endemik.

"Tujuh tonggak ini meliputi pematuhan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) umum dan sembilan garis panduan, selain penerapan Sistem Amaran dan Tindakan (HAS).

"Strategi Saringan Kebangsaan; TRIIS (uji, lapor, pengasingan, maklumkan, dapatkan); Automatasi FTTIS (cari, uji, jejak, asing dan sokongan); pembukaan sempadan negara secara berperingkat serta duta pemerkasaan komuniti," katanya.

Ditanya sama ada Malaysia bakal kembali beralih ke pandemik sekiranya sektor kesihatan awam terbeban dengan lonjakan kes harian, Hishammuddin berkata, segalanya mungkin memandangkan COVID-19 adalah suatu insiden penularan wabak yang tidak pernah melanda seluruh dunia sebelum ini.

Bagi memastikan risiko peralihan sedemikian tidak berlaku, beliau berkata, orang ramai wajar menyelami erti endemik dan tujuh tonggak yang digariskan kerajaan, selain mengamalkan disiplin kendiri demi mengekang penularan jangkitan.

"Nak kata patah balik dengan varian yang ada, lebih daripada kemungkinan itu ada kerana kita tidak pernah jangka COVID-19 melanda," katanya.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - NSTP/Aizuddin Saad
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - NSTP/Aizuddin Saad
Berita Harian X