Selasa, 8 Februari 2022 | 12:18pm
Gambar hiasan - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Gambar hiasan - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

53.3 peratus populasi dewasa sudah terima dos penggalak

KUALA LUMPUR: Seramai 12,473,139 individu atau 53.3 peratus daripada populasi dewasa di negara ini sudah menerima dos penggalak COVID-19, setakat semalam.

Berdasarkan data dalam laman web COVIDNOW, seramai 22,930,943 individu (98 peratus) populasi sama telah lengkap dua dos vaksin, manakala 23,206,202 individu (99.2 peratus) menerima sekurang-kurang satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berumur 12 hingga 17 tahun pula, sejumlah 2,792,265 individu (88.7 peratus) telah lengkap vaksinasi, manakala 2,869,845 individu (91.2 peratus) menerima sekurang-kurang satu dos vaksin itu.

Bagi vaksinasi harian, sebanyak 119,543 dos diberikan semalam, meliputi 9,321 dos pertama, dos kedua (2,188) dan dos penggalak (108,034), menjadikan jumlah kumulatifnya mencecah 64,108,866 dos diberikan bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Sementara itu menurut portal Github Kementerian Kesihatan (KKM), sembilan kematian akibat COVID-19 dilaporkan, semalam, membabitkan empat di Perak dan masing-masing satu di Kedah, Melaka, Pahang, Pulau Pinang serta Selangor. – BERNAMA

Berita Harian X