Selasa, 8 Februari 2022 | 11:45am
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2022 di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2022 di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA

Agong hargai komitmen kerajaan tingkatkan taraf hidup warga Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menghargai komitmen kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kejayaan inisiatif berteraskan prinsip menjaga kebajikan, meringankan kos sara hidup dan menaikkan taraf hidup rakyat di Wilayah Persekutuan.

Sebagai contoh, baginda menyambut baik program pembangunan usahawan anak muda kota Wilayah Persekutuan yang berjaya memberi impak dalam meningkatkan penyertaan belia dalam bidang keusahawanan pascapandemik COVID-19.

"Selain itu, bantuan kepada golongan miskin di 178 kawasan perumahan rendah dan sederhana di Kuala Lumpur juga membantu meringankan kos hidup ditanggung golongan miskin bandar," titah baginda sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang serta Pingat Wilayah Persekutuan 2022 di Istana Negara, di sini, hari ini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke istiadat itu.

Ketika menzahirkan ucapan tahniah kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Al-Sultan Abdullah turut menyambut baik komitmen menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai wilayah sejahtera dan mapan untuk didiami semua golongan menerusi agenda penyediaan perumahan mampu milik.

Baginda bertitah, inisiatif Residensi Prihatin Keluarga Malaysia dan Residensi Wilayah Keluarga Malaysia antara inisiatif bakal membantu warga Wilayah Persekutuan dan golongan B40 serta M40 memiliki rumah sendiri yang selesa dan berkualiti.

Titah baginda usaha membangunkan infrastruktur berkualiti dan menyeluruh serta pembangunan semula kawasan usang dan ketinggalan bakal merencanakan Wilayah Persekutuan yang lebih segar, ceria dan berdaya huni.

Dalam hal itu, baginda berharap pembangunan Wilayah Persekutuan sebagai bandar pintar bertaraf dunia menjelang 2030 dan pelaksanaan bandar rendah karbon akan dapat direalisasikan.

Al-Sultan Abdullah juga berharap cadangan pembinaan jambatan menghubungkan pulau Labuan dengan tanah besar Sabah, yang pada hemat baginda boleh menjadi pemangkin pesat ekonomi di kedua-dua sempadan wilayah berkenaan.

Sementara itu, baginda turut menyentuh mengenai bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini sehingga mendatangkan pelbagai kesulitan kepada rakyat, selain membawa kesan kepada sektor ekonomi yang baru beransur pulih.

Justeru, Seri Paduka menyeru kerajaan merangka satu solusi jangka panjang dan juga memperkasa mekanisme pengurusan bencana.

Al-Sultan Abdullah bertitah, bandar raya Kuala Lumpur dan Lembah Klang yang juga pusat kepada ekonomi dan kewangan negara perlu mempunyai pelan kontingensi terancang dalam menghadapi banjir.

Namun di sebalik musibah banjir itu, baginda amat terharu dengan semangat setiakawan dan saling membantu yang dipamerkan rakyat ketika bencana berlaku.

"Pelbagai pihak dan orang perseorangan tampil menghulurkan bantuan.

"Sesungguhnya sikap murni seperti inilah yang menjadi kayu pengukur rasa saling sayang menyayangi dan perpaduan erat oleh seluruh rakyat merentasi darjat mahupun bangsa, agama serta fahaman politik," titah baginda. - BERNAMA

Berita Harian X