Isnin, 7 Februari 2022 | 6:47pm
Foto hiasan NSTP
Foto hiasan NSTP

Air terasa masin, payau

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengesahkan berlaku gangguan kualiti air di kawasan agihan Loji Rawatan Air (LRA) Chicha yang menyebabkan air terasa masin atau payau.

AKSB menerusi kenyataan media berkata, ia berpunca daripada penerobosan air masin ke Sungai Pengkalan Datu dan kandungan klorida pada 3 Februari lalu adalah 2,270 miligram per liter.

"Kandungan klorida dalam air sungai pada masa ini adalah 142 miligram per liter. Selepas AKSB menerima aduan air payau atau masin pada 3 Februari, pengepaman air mentah dari Telaga Jejari (TJ) sudah dikurangkan secara berperingkat.

"Hari ini, pengepaman air mentah dari TJ sudah dihentikan sepenuhnya susulan kandungan klorida dalam air terawat masih tinggi. Kualiti air terawat dari LRA Chicha akan beransur pulih," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial aduan pengguna mengatakan bekalan air yang diterima di rumah mereka terasa masin selain tidak bersih.

Mengulas lanjut, AKSB memaklumkan, pada 31 Januari lalu kadar pengeluaran air terawat dari LRA Chicha adalah 71.6 juta liter sehari (JLH).

Sebelum penyaluran air Sungai Pengkalan Datu ke TJ, kadar pengeluaran air terawat LRA Chicha adalah 62 juta liter sehari.

"Bagi meningkatkan sumber air mentah di LRA Chicha untuk menghadapi permintaan air yang tinggi semasa sambutan Tahun Baru Cina, AKSB menyalurkan air Sungai Pengkalan Datu ke TJ Pasir Tumboh pada 30 Januari lalu," katanya.

Berita Harian X