X
Isnin, 7 Februari 2022 | 4:16pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan Projek Strategik NCER - Kedah Rubber City di Padang Sanai, Kuala Nerang. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan Projek Strategik NCER - Kedah Rubber City di Padang Sanai, Kuala Nerang. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR

Kedah Rubber City tawar 15,000 peluang pekerjaan menjelang 2025

PADANG TERAP: Penduduk tempatan bakal menerima pelbagai limpahan manfaat hasil pembangunan Kedah Rubber City (KRC) yang akan turut membuka 15,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2025 di kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pembangunan KRC sebagai taman perindustrian getah khusus mesra alam pertama di Malaysia diyakini mampu menarik pelaburan berpotensi keseluruhan bernilai RM10 bilion.

Jelasnya, walaupun baharu dilancarkan, KRC setakat ini sudah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4 bilion yang bakal menawarkan hampir 7,000 peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia.

"Jika sebelum ini, pembangunan berskala besar kebanyakannya hanya tertumpu di kawasan bandar. Hari ini, Keluarga Malaysia di kawasan luar bandar termasuk di Padang Terap juga mampu menikmati limpahan kemakmuran yang dicipta hasil daripada projek strategik nasional seperti KRC.

"KRC adalah satu daripada pelbagai projek 'game changer' yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri untuk mentransformasi Kedah sebagai negeri yang maju, sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara wilayah," katanya pada Majlis Perasmian Projek Strategik NCER-KRC di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Ismail berkata, KRC dibangunkan dengan matlamat menjadikan Kedah sebagai peneraju pembangunan industri getah negara serta hab industri getah bernilai tinggi di peringkat global.

"Kewujudan KRC juga mencerminkan momentum pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negeri Kedah yang akan dipacu sektor pertanian moden dan pintar serta pembuatan bernilai tinggi.

"Dengan lokasinya yang strategik di kawasan 'Rubber Belt' sempadan Malaysia-Thailand, KRC akan memupuk kerjasama dan integrasi serantau yang lebih erat antara kedua-dua negara, serta menjadi penggerak menghubungkan pengeluar getah utama serantau di bawah platform Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT)," katanya.

Berikutan itu, beliau berharap pelabur dari dalam dan luar negara akan merebut peluang menempatkan operasi mereka di KRC yang menawarkan kawasan seluas lebih 503 hektar.

"Sebagai anak penoreh getah, saya yakin KRC bakal memberi manfaat kepada pekebun kecil getah di negeri ini. Walaupun Kedah adalah antara kawasan penanaman getah penting negara, industri ini masih tertumpu kepada aktiviti bernilai rendah yang mengakibatkan ramai pekebun masih dibelenggu kemiskinan.

"Sehubungan itu, NCIA akan bekerjasama bersama RISDA bagi membangunkan masyarakat pekebun kecil getah tempatan iaitu kepada 73,642 pekebun kecil negeri Kedah termasuk 11,190 pekebun kecil di Padang Terap," katanya.

Pada majlis itu, Ismail turut menyaksikan pertukaran sembilan dokumen perjanjian, surat niat serta memorandum persefahaman (MoU) antara NCIA dan pelabur serta rakan strategik dalam pembangunan KRC.

Antara syarikat terbabit adalah Hong Seng Corporation Berhad (HSCB) dan Mitsui & Co (Malaysia) Sdn Bhd sebagai rakan kerjasama strategik, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi mempromosikan KRC serta syarikat perbankan CIMB, Affin Bank, Maybank dan Agrobank bagi program keusahawanan.

Berita Harian X