Isnin, 7 Februari 2022 | 12:54pm

Sampah cemar keindahan pantai Batu Hitam

KUANTAN: Sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengunjung yang membuang sisa makanan dan bekas plastik di pantai Batu Hitam, di sini, mengundang rasa tidak puas hati orang ramai.

Keadaan itu memberi imej negatif kepada pantai Batu Hitam yang terkenal sebagai lokasi beriadah bagi warga Kuantan termasuk pelancong dari negeri lain susulan keunikan batu berwarna hitam yang ada di pantai ini.

Lailawati Firdaus, 31 dari Gambang, berkata dia terkejut melihat keadaan pantai yang kotor apabila sampah dibiar bertaburan sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada pengunjung.

"Bagi saya, kemudahan tong sampah yang disediakan untuk menjaga kebersihan awam seolah-olah tidak berfungsi apabila orang ramai dilihat tidak bertanggungjawab dengan membuang sampah merata-rata.

"Sisa makanan dan bekas plastik ditinggalkan begitu saja hingga memberikan pemandangan tidak elok. Jadi, saya meminta pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku untuk memastikan kawasan pantai sentiasa bersih dan selesa kepada pengunjung," katanya.

Sementara itu, Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Norkamawati Kamal, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) terkilan dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengunjung yang tidak mengutamakan kebersihan.

Katanya, pihaknya menyediakan tong sampah bagi memudahkan pengunjung membuang sampah bagi mengelak sampah bertaburan.

"Bagaimanapun, sikap tidak prihatin bukan saja mencemarkan persekitaran pantai Batu Hitam, malah memberikan imej negatif.

"Ini kerana pantai Batu Hitam antara tumpuan orang ramai beriadah terutama pada cuti hujung minggu dan cuti umum.

"Dalam hal ini, MBK meminta pengunjung yang ingin beriadah di pantai batu Hitam atau pantai lain di daerah ini supaya lebih bersikap positif.

"Sebaiknya selepas menikmati makanan dan minuman, sampah seperti botol plastik, tin atau kaca serta bekas makanan dibuang dalam tong disediakan," katanya.

 Bekas plastik dan sisa makanan yang dibuang di sekitar pantai batu Hitam hingga mencemarkan pemandangan.- NSTP/Asrol Awang
Bekas plastik dan sisa makanan yang dibuang di sekitar pantai batu Hitam hingga mencemarkan pemandangan.- NSTP/Asrol Awang
Berita Harian X