Ahad, 6 Februari 2022 | 4:26pm

'Malaysia kini dalam gelombang Omicron' - Khairy

KUALA LUMPUR: Malaysia secara rasmi sudah berada sepenuhnya dalam gelombang baharu COVID-19 yang dicetuskan varian Omicron, dengan kes harian kini melonjak melebihi 10,000 hari ini.

Situasi itu diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang menjangkakan jumlah kes harian akan terus meloncak dan mencecah 15,000 tidak lama lagi.

Berikutan serangan Omicron ketika ini, beliau melahirkan kebimbangan terhadap sekitar satu juta warga emas yang belum mendapatkan dos penggalak, sekali gus berisiko mendapatkan komplikasi serius jika dijangkiti varian baharu COVID-19 itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai untuk segera memaklumkan kepada golongan warga emas dalam keluarga masing-masing untuk segera mendapatkan dos penggalak, bagi melindungi golongan itu daripada kesan buruk Omicron.

"Kita sudah sepenuhnya dalam gelombang Omicron. Kes akan mencecah 15,000 tidak lama lagi.

"Masih ada satu juta warga emas yang tiada dos penggalak. Tolong maklum kepada orang-orang tua kesayangan anda untuk mendapat dos penggalak dengan segera," katanya menerusi Twitter, hari ini.

Beliau mengulas unjuran model Pemerhatian dan Unjuran Kes Harian SEIR COVID-19 yang dimuat naik Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di akaun Twitter miliknya, hari ini.

Model SEIR itu mengunjurkan kes harian COVID-19 berisiko melonjak sehingga kembali mencecah lebih 20,000 kes menjelang hujung bulan depan, sekiranya kadar kebolehjangkitan (Rt) virus itu kekal pada 1.2.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham yakin tahap keparahan wabak itu dapat dikurangkan walaupun kes bakal melonjak tinggi, berikutan kadar vaksinasi dan dos penggalak yang tinggi.

Terdahulu, beliau memaklumkan nilai Rt di Malaysia sudah mencecah 1.2 semalam berbanding 1.13 kelmarin, dengan empat negeri merekodkan nilai Rt melebihi purata kebangsaan.

Dalam pada itu, data semasa di portal COVIDNOW membuktikan kadar vaksinasi yang tinggi mampu mengurangkan risiko pesakit COVID-19 dimasukkan ke hospital dan unit rawatan rapi, serta kematian.

Ketika ini, Sarawak mencatatkan kadar vaksinasi lengkap hampir 92 peratus bagi individu dewasa berusia 18 tahun ke atas dan hampir 89 peratus bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Negeri itu mencatatkan peningkatan kes harian COVID-19 sejak beberapa hari lalu kepada 42 kes semalam, namun tiada lonjakan dalam kes kematian serta kemasukan ke ICU dan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan.

Sejak 7 Januari lalu, tiada sebarang kes kematian akibat COVID-19 dicatatkan di Sarawak dan hanya seorang pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan ketika ini.

Kemasukan pesakit COVID-19 ke ICU juga terus menunjukkan penurunan dengan hanya empat kes aktif di wad itu ketika ini, dan kadar penggunaan wad bagi pesakit COVID-19 hanya 4.4 peratus.

Berita Harian X