Ahad, 6 Februari 2022 | 3:34pm

Jangkitan COVID-19 lebih 20,000 sehari menjelang akhir bulan depan

KUALA LUMPUR: Kes harian COVID-19 berisiko melonjak sehingga kembali mencecah lebih 20,000 kes menjelang hujung bulan depan, sekiranya kadar kebolehjangkitan (Rt) virus itu kekal pada kadar 1.2

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata unjuran itu berdasarkan model Pemerhatian dan Unjuran Kes Harian SEIR oleh Kementerian Kesihatan (KKM), yang dimuat naik di akaun Twitter miliknya, hari ini.

Bagaimanapun, beliau yakin tahap keparahan wabak itu dapat dikurangkan walaupun kes bakal melonjak tinggi, berikutan kadar vaksinasi dan dos penggalak yang tinggi.

"Jika Ro/Rt adalah 1.2, kes harian diunjurkan mengikut kawasan warna beige (dalam grafik model SEIR).

"Namun, dengan liputan vaksin yang luas dan dos penggalak dapat mengurangkan keparahan kes," katanya menerusi Twitter.

Terdahulu, beliau memaklumkan nilai Rt di Malaysia sudah mencecah 1.2 semalam berbanding 1.13 kelmarin, dengan empat negeri merekodkan nilai Rt melebihi purata kebangsaan.

Data yang dimuat naik di Twitter Ketua Pengarah Kesihatan itu menunjukkan Perlis mencatat nilai Rt tertinggi semalam dengan 1.49, disusuli Sabah (1.41), Putrajaya (1.29) dan Kedah 1.22.

Jumlah kes harian COVID-19 kembali melonjak kepada lebih 10,000 kes hari ini, selepas berlegar sekitar 2,000 hingga 3,000 kes sejak pertengahan Disember tahun lalu, dipercayai akibat varian Omicron.

Pola peningkatan kes harian mula dilihat pada 21 Januari lalu dengan 4,046 kes dicatatkan, sebelum melonjak kepada 5,439 kes pada 27 Januari, 7,234 kes pada 4 Februari, 9,117 kes semalam dan 10,089 kes hari ini.

Setakat 25 Januari lalu, KKM merekodkan 601 kes varian Omicron yang amat mudah berjangkit di negara ini, dengan 579 daripadanya dikategorikan sebagai kes sporadik.

Malaysia pertama kali mengesan kes positif COVID-19 varian Omicron pada 2 Disember lalu, membabitkan pelajar warga asing yang tiba ke Malaysia dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November tahun lalu.

Berita Harian X