Ahad, 6 Februari 2022 | 3:03pm
Keadaan trafik perlahan di Lebuh raya Utara-Selatan di Sungkai ke Slim River, hari ini berikutan sebuah kenderaan berhenti di lorong kanan lebuh raya. - Foto Nurul Hidayah Bahaudin
Keadaan trafik perlahan di Lebuh raya Utara-Selatan di Sungkai ke Slim River, hari ini berikutan sebuah kenderaan berhenti di lorong kanan lebuh raya. - Foto Nurul Hidayah Bahaudin

Aliran trafik mula perlahan di lebuh raya utama

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa kawasan di sekitar lebuh raya utama mula perlahan setakat jam 2 petang, akibat pertambahan kenderaan selepas tamat cuti umum sempena Tahun Baru Cina serta cuti hujung minggu.

Tinjauan menerusi akaun rasmi Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), mendapati trafik mula perlahan di laluan sebelah utara Lebuh raya Utara Selatan.

Aliran trafik mula perlahan menghala ke selatan membabitkan laluan sebelum masuk Plaza Tol Juru, Tapah ke Bidor, Bidor ke Sungkai, persimpangan Tapah ke kawasan rehat dan rawat (RnR) Tapah dan Sungkai ke Slim River.

Di arah utara lebuh raya berkenaan pula, aliran trafik mulai perlahan di Kilometer 202.2 Air Keroh-Simpang Ampat dengan lorong kecemasan terhalang akibat kemalangan kereta.

Sementara itu, aliran trafik mulai perlahan di Lebuh raya Kuala-Lumpur Karak arah Barat ke Kuala Lumpur membabitkan laluan sebelum keluar Plaza Tol Gombak dan dari Lentang ke Bukit Tinggi.

Selain itu, terdapat kemalangan di Kilometer 225.2 Pedas Linggi-Simpang Ampat menyebabkan lorong kecemasan terhalang disebabkan kemalangan, namun aliran trafik di lokasi terbabit masih lancar dan terkawal.

Terdapat juga insiden kereta terbakar di Kilometer 41.3 arah Kuala Lumpur di laluan Bukit Tinggi-Genting Sempah menyebabkan lorong kecemasan terhalang, namun trafik di lokasi berkenaan masih dalam keadaan terkawal.

Di bahagian selatan Lebuh raya Utara Selatan masih berada dalam keadaan lancar dan terkawal di kedua-dua arah termasuk di lokasi sekitar plaza tol utama seperti Sungai Besi dan Skudai.

Aliran trafik di bahagian timur juga dalam keadaan lancar dan terkawal di kedua-dua arah sepanjang Lebuh raya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 termasuk di sekitar plaza tol utama seperti Karak dan Kuala Terengganu.

Terdahulu, tinjauan udara aliran trafik menerusi helikopter bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman membabitkan laluan menghala ke utara jam 11 pagi tadi mendapati kebanyakan laluan masih lagi lancar dan terkawal.

Bagaimanapun, aliran trafik dikesan perlahan di Lebuh raya Utara Selatan di Sungkai ke Slim River kerana terdapat sebuah kereta didapati berhenti di lorong kanan sebelum kenderaan berkenaan dialih ke lorong kecemasan untuk melancarkan trafik.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMinfotrafik.

Berita Harian X