Sabtu, 5 Februari 2022 | 11:45am
Gambar hiasan. Pasukan pengurusan jenazah COVID-19 memakai baju perlindungan diri Personel Protective Equipment (PPE) ketika menguruskan jenazah pesakit COVID-19.
Gambar hiasan. Pasukan pengurusan jenazah COVID-19 memakai baju perlindungan diri Personel Protective Equipment (PPE) ketika menguruskan jenazah pesakit COVID-19.

Tiada kematian akibat COVID-19 semalam

KUALA LUMPUR: Tiada kes kematian harian akibat jangkitan COVID-19 dicatatkan semalam, menurut laman sesawang COVIDNOW Kementerian Kesihatan (KKM).

Kemas kini terbaharu setakat jam 7.14 pagi tadi menunjukkan jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 mencecah 32,011 kes, termasuk 25,558 kes kematian di hospital dan 6,453 membabitkan kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Sementara itu, kes COVID-19 yang masih aktif terus menunjukkan peningkatan, dengan 63,395 kes aktif, termasuk 7,234 kes baharu yang dilaporkan semalam.

Selangor kekal mencatatkan rekod negeri tertinggi kes COVID-19 dengan 1,936 kes setakat semalam.

Data COVIDNOW juga menunjukkan, sebanyak 55,759 kes (88 peratus) dikuarantin di rumah, 4,092 kes (6.5 peratus) di Pusat Kuarantin dan rawatan COVID-19 (PKRC) dan 3,426 kes (5.4 peratus) di hospital.

Selain itu, 61 kes (0.1 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 57 kes (0.1 peratus) di ICU memerlukan ABP.

Berita Harian X