Jumaat, 4 Februari 2022 | 7:57pm
Jenazah empat beranak yang maut dalam kemalangan dikebumikan dalam satu liang lahad di Perkuburan Islam Kampung Panchor, Pengkalan Chepa. - Foto fail
Jenazah empat beranak yang maut dalam kemalangan dikebumikan dalam satu liang lahad di Perkuburan Islam Kampung Panchor, Pengkalan Chepa. - Foto fail

Suami 'bersyukur' pesalah didakwa membunuh

KOTA BHARU: "Ya Allah, Allah Maha Berkuasa. Hanya ayat itu yang terlafaz sebaik mengetahui pemandu yang menyebabkan kematian anak dan isteri, didakwa atas kesalahan membunuh."

Demikian luahan Mohd Nazri Hamid, 44, yang kehilangan isteri, Raihan Mohamad, 43, dalam kemalangan di Jalan Lebu ke Mempaga dekat Bentong, 2.30 petang, Jumaat lalu.

Kemalangan berkenaan turut mengorbankan tiga anaknya, Ahda Dalili Mohd Nazri, 14; Ahmad Muaz, 7 dan Ahda Imtinan, 5.

Mohd Nazri berkata, sebagai insan biasa dan menerima takdir , beliau hanya mengharapkan individu terbabit menerima hukuman setimpal.

"Dengan apa yang berlaku terhadap saya dan anak-anak, tiada kata yang mampu terluah walaupun individu berkenaan sudah didakwa.

"Namun, saya mengharapkan individu berkenaan menerima hukuman setimpal dan menyerahkan kepada pihak berkuasa memandangkan perjalanan kes ini masih jauh.

"Nak kata saya puas hati, saya tidak mampu kerana saya insan biasa dan ujian ini amat berat. Namun, saya ratapi kematian isteri dan anak-anak dengan reda," katanya menahan sebak.

Terdahulu, seorang peniaga ikan yang memandu di bawah pengaruh dadah dan terbabit dalam kemalangan menyebabkan kematian empat beranak terbabit, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas tuduhan membunuh semua mangsa.

Selain empat tuduhan membunuh empat beranak itu, Ahamad Fuad Mohd Salleh, 44, turut berdepan dua lagi pertuduhan iaitu memiliki dan menggunakan dadah jenis methamphetamine seberat 0.75 gram, namun mengaku tidak bersalah.

Mengulas lanjut, Mohd Nazri, yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Aring, Gua Musang, berkata dua anaknya, Ahmad Awaz, 12 dan Ahdan Fasihah, 11, kini sudah dapat menerima kehilangan ibu dan adik beradik.

"Mereka masih bersedih, namun saya sentiasa menasihati mereka supaya menerima ujian ini dengan tenang kerana semua orang akan meninggal dunia.

"Alhamdulillah, hari ini kami ziarah kubur dan anak-anak sudah mampu membaca doa untuk ibu serta adik-beradik mereka," katanya.

Berita Harian X