Jumaat, 4 Februari 2022 | 3:25pm
Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam setuju menggariskan lapan langkah strategik bagi menambah baik kaedah pengurusan bencana negara. - Foto PMO
Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam setuju menggariskan lapan langkah strategik bagi menambah baik kaedah pengurusan bencana negara. - Foto PMO

8 langkah strategik tambah baik pengurusan bencana

PUTRAJAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam setuju menggariskan lapan langkah strategik bagi menambah baik kaedah pengurusan bencana negara.

Antara langkah berkenaan, kata Ismail Sabri adalah pemerkasaan dasar, perundangan dan mekanisme berkaitan pengurusan bencana dan pengurangan risiko bencana (DRR).

Mesyuarat juga setuju supaya penekanan diberikan terhadap inisiatif DRR; menyediakan dana untuk pengurusan bencana dan DRR serta mengukuhkan mekanisme koordinasi dan kompetensi pemegang taruh pengurusan bencana.

Turut dipersetujui, katanya, ialah penambahbaikan sistem dan penyampaian maklumat dalam pengurusan bencana dan DRR; memperkasakan dasar dan mekanisme koordinasi bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan; meningkatkan kemahiran dalam komunikasi krisis dan komunikasi strategik serta meningkatkan kapasiti komuniti setempat dan tumpuan terhadap 'localisation' dalam pengurusan dan DRR.

"Perluasan dasar DRR di peringkat negeri dan daerah dapat memastikan pengurusan bencana banjir dapat dipertingkatkan berikutan satu platform yang diwujudkan bagi menyimpan semua repositori daftar risiko secara sistematik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam setuju menggariskan lapan langkah strategik bagi menambah baik kaedah pengurusan bencana negara. - Foto PMO
Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam setuju menggariskan lapan langkah strategik bagi menambah baik kaedah pengurusan bencana negara. - Foto PMO

Perdana Menteri berkata, Kementerian dan Agensi juga turut disaran untuk menetapkan sebanyak lima peratus daripada perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi tujuan pengurusan bencana pada masa akan datang.

Beliau berkata, ia penting bagi persiapan perbelanjaan persediaan bencana, pemulihan dan pasca bencana serta pencegahan dan mitigasi risiko bencana.

Kerajaan juga sedar akan perubahan iklim yang turut menjadi antara faktor kepada bencana banjir di negara ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan akan mewujudkan subjek utama dalam menangani bencana di pelbagai peringkat pendidikan, sekolah, kolej dan universiti supaya seluruh Keluarga Malaysia dapat mengadaptasi masalah banjir sebagai norma baharu.

"Mesyuarat juga bersetuju dengan penekanan terhadap konsep 'whole of society approach' yang perlu diterjemahkan dalam dasar, pengoperasian dan latih amal bencana dengan pembabitan bersama agensi kerajaan dan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO).

"Pada masa sama, pemerkasaan kapasiti komuniti setempat akan dipertingkatkan melalui ketua komuniti yang akan bertindak sebagai 'initial responder'.

"Mereka akan dibekalkan dengan kelengkapan asas dan bantuan untuk melaksanakan tindakan awal," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Mesyuarat JPBP secara telesidang semalam diadakan bagi membincangkan secara terperinci situasi dan penilaian awal After Action Review (AAR) Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022.

Perdana Menteri berkata, ia menekankan langkah-langkah dan perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang perlu dilakukan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri supaya bencana banjir tidak memberikan impak besar kepada negara dan rakyat.

Mesyuarat itu turut disertai Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Ketua Setiausaha Negara (KSN), Panglima Angkatan Tentera (PAT), Ketua Polis Negara (KPN), Ketua Pengarah NADMA, Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah Agensi-agensi yang berkaitan.

Katanya, banjir yang berlaku di negara ini mengakibatkan kerugian bukan sahaja terhadap harta benda tetapi juga kehilangan nyawa.

Natijah daripada bencana banjir ini juga mengakibatkan negara mengalami kerugian RM6.1 bilion akibat kerosakan aset awam dan infrastruktur, tempat kediaman, kenderaan, sektor pembuatan, premis perniagaan dan sektor pertanian.

Apa yang berlaku ini seharusnya menjadi titik permulaan untuk merangka paradigma baharu bagi menghadapi bencana banjir pada masa akan datang.

"Justeru, masalah ini harus diselesaikan secara tuntas. Kerajaan tidak mahu lagi melihat bencana banjir menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat," katanya.

Berita Harian X